Darurat bawa ketidakstabilan politik, ekonomi berlarutan - SUHAKAM



Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bimbang cadangan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengisytihar darurat akan membawa ketidakstabilan jangka panjang kepada politik Malaysia dan seterusnya merosakkan ekonomi.


Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan suruhanjaya itu, peristiharan darurat sebelum ini telah menyebabkan penangguhan sidang Parlimen, kemerosotan ekonomi dan pencabulan hak asasi rakyat di bawah Perlembagaan Persekutuan yang tidak sewajarnya berlaku.


"Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat sekiranya Baginda berpuas hati bahawa terdapat ancaman terhadap keselamatan negara, ekonomi atau ketenteraman awam. Sebaliknya keadaan kesihatan dan ekonomi semasa di negara ini yang berkaitan dengan Covid 19, tidak menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara.


"Pengisytiharan darurat yang dicadangkan dengan tujuan untuk membendung Covid 19 adalah tidak mengikut Perlembagaan dan tidak boleh dijustifikasikan terutamanya apabila orang ramai telah mematuhi perintah kawalan pergerakan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan oleh kerajaan.


"Langkah-langkah terkini yang diambil oleh kerajaan untuk mencegah jangkitan di negara ini dan pematuhan ketat terhadap SOP oleh rakyat adalah mencukupi untuk mengatasi wabak tersebut," kata kenyataan media suruhanjaya itu.


SUHAKAM juga memohon Raja-raja Melayu akan bersidang pada hari ini menilai dengan rapi cadangan darurat yang dikemukakan oleh kerajaan PN bagi menjamin hak asasi rakyat terpelihara dan mengelak kerajaan menggunakan alasan Covid untuk bertindak sewenang-wenangnya.


"Seperti yang dinyatakan dalam kenyataan media Istana Negara, SUHAKAM mengambil maklum bahawa Yang di-Pertuan Agong akan segera berunding dengan Raja-Raja Melayu untuk membincangkan cadangan Pengisytiharan Darurat yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri.


"Dalam hal ini, SUHAKAM menggesa kerajaan untuk menilai semula keperluan Pengisytiharan Darurat untuk menangani wabak Covid 19 dan menyeru kerajaan mendukung tugas dan tanggungjawab mereka dalam menghormati kedaulatan undang-undang serta melindungi kebebasan asasi rakyat seperti yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan," kata kenyataan itu lagi.


Sepanjang sejarah Malaysia, darurat diisytiharkan sebanyak 4 kali, iaitu darurat pada tahun 1964, darurat di negeri Sarawak pada tahun 1966, darurat pada selepas 13 Mei 1969 dan darurat di negeri Kelantan pada tahun 1977.


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio