Dapatkan permit polis anjur ceramah langkah ke belakang - Syed Ibrahim
- Suara Keadilan
- Feb 22, 2022
- 1 min read

Prosedur baharu yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dalam Pilihan Raya Negeri Johor yang memerlukan permit polis bagi menganjurkan ceramah tertutup 100 hadirin dianggap tidak revelan selepas peraturan itu dimansuhkan pada 2012.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, peraturan permit polis sebelum ini telah menimbulkan kesukaran untuk menganjurkan ceramah, dan kuasa membenarkan himpunan bergantung penuh kepada pihak polis setempat.
Katanya, dengan Prosedur Operasi Piawai (SOP) Covid 19 dan peraturan permit, maka ceramah umum akan terbatas.
"Ia (mohon permit) langkah ke belakang. Dalam suasana pilihan raya dan SOP yang ada, ditambah dengan keperluan permit polis, ia akan mengekang kempen dan demokrasi sihat pilihan raya," kata Syed Ibrahim ketika dihubungi.
Permit polis pada pilihan raya sebelum 2012 kadang kala sukar diperolehi dan boleh pula diminta untuk mengubah lokasi ceramah pada saat akhir, sehingga menyukarkan pengajur dan rakyat yang ingin mendengar ceramah.
"Sepatutnya dipermudahkan. Memadai sekadar memaklumkan dalam tempoh yang munasabah. Tambahan pula, ada kebimbangan salah guna proses dapatkan permit hingga menjejaskan aktiviti kempen," katanya lagi.
Peraturan mendapatkan permit polis dimansuhkan pada 2012 dan diganti dengan pemberitahun kepada pihak polis tanpa kuasa meluluskan.
Comments