Pendakwaan ke atas Menteri Besar (MB) Kedah Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor pada pagi ini di Mahkamah Sesyen Selayang atas satu pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dalam satu ceramah politik baru baru ini dianggap wajar.
Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, pendakwaan itu akan memberi pengajaran kepada semua bahawa tidak ada sesiapa yang boleh bercakap sesuka hati melanggar undang undang di sebuah negara hukum, biar pun individu itu seorang MB.
"Negara ini mempunyai perundangan yang lengkap. Yang salah disiasat pihak berkuasa, bukti kukuh Peguam Negara akan mendakwa. Kalau dibukti bersalah di mahkamah, hukuman akan dijatuhkan. Itu proses perundangan.
"Ceramah Sanusi (sebelum ini) celupar, hina institusi Raja, memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum. Beliau harus disiasat, jika bukti kukuh, harus didakwa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi Timbalan Pengarah Strategi KEADILAN Malaysia itu, rakyat tidak kira di pihak mana harus menghormati tindakan pihak polis yang bebas dan profesional sehingga proses pendakwaan.
Cuma, katanya, berhubung penangkapan Sanusi untuk pendakwaan yang dilakukan pihak polis pada pukul 3 pagi ini, prosedur operasi piawai (SOP) tersebut harus dikaji semula.
"Walau bagaimanapun, SOP tangkapan polis harus dijalankan dengan lebih baik. Tangkapan pada pukul 3 pagi bukanlah satu tindakan wajar.
"Sanusi seorang MB. Beliau bukan suspek yang akan melarikan diri. Penangkapan boleh dijalankan awal pagi atau petang. Tak wajar dilaksanakan tengah malam.
"SOP polis yang ditetapkan zaman darurat wajar dikaji semula, sejajar dengan prinsip Malaysia Madani yang didukung oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Malaysia negara hukum, Malaysia juga Negara Madani," katanya lagi.
Sanusi didakwa pagi ini mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bình luáºn