![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_f30c3f5e4cae451685917fa0b1c5e7a7~mv2.jpg/v1/fill/w_783,h_530,al_c,q_85,enc_auto/4449e2_f30c3f5e4cae451685917fa0b1c5e7a7~mv2.jpg)
Pembukaan sekolah pada 20 Januari ini harus dipertimbangkan semula di negeri Kedah kerana terdapat beberapa kawasan telah dikategorikan sebagai zon merah Covid 19.
Menurut Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip @ Nurin Aina, pembukaan sekolah tidak wajar diteruskan terutama di daerah Kuala Muda yang melibatkan beberapa sekolah di Parlimen Sungai Petani.
"Merujuk laporan harian penularan Covid 19 dari Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Mukim Sungai Petani di antara salah satu daripada 16 mukim Daerah Kuala Muda yang berada dalam zon merah sejak 5 Januari lalu, mencatatkan bilangan kes positif harian yang masih belum menurun.
"Saya turut meneliti jumlah kes di Daerah Kuala Muda secara dekat. Mukim Sungai Petani yang pada awalnya zon oren dengan jumlah 40 kes pada 4 Januari telah bertukar menjadi zon merah pada 5 Januari apabila mencatatkan 51 kes dan setakat 13 Januari telah dilaporkan mempunyai 171 kes. Peningkatan sebanyak 120 kes dalam tempoh kira-kira seminggu ini membimbangkan apatah lagi bila sekolah dibuka nanti.
"Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan tarikh permulaan sesi persekolahan pada 20 Januari bagi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)
"Kita memahami matlamat utama perlaksanaan PKPB dalam tempoh 14 hari adalah untuk mengekang penularan Covid-19. Namun membenarkan sesi persekolahan bermula seminggu lebih awal sebelum tempoh PKPB tamat dilihat sangat kontradik dengan matlamat PKPB secara prinsip dan dasarnya," kata Nurin dalam satu kenyataan.
Menurut beliau lagi, lebih selamat sekiranya pembukaan sekolah ditunda ke tarikh selepas berakhirnya PKPB, iaitu pada 26 Januari 2021.
Katanya, pembukaan sekolah melibatkan pergerakan yang sangat ketara bukan hanya proses pergi dan balik sekolah para pelajar yang menggunakan pelbagai pengangkutan tetapi termasuk juga para ibu bapa yang menghantar anak-anak, urusan pendaftaran, serta urusan-urusan lain yang terkait dengan persekolahan dan sukar untuk dikawal meskipun ada prosedur operasi standard (SOP) yang mesti diikuti.
Harus difikirkan juga, katanya Nurin, ragam anak-anak Tahun 1 yang baru memasuki alam persekolahan yang memerlukan sentuhan dan perhatian khusus.
"Kita harus mengambil iktibar akhir-akhir ini apabila peningkatan kes positif Covid-19 yang tinggi berpunca dari perjalanan individu-individu dari zon merah melalui pertemuan atau perjumpaan yang akhirnya menjadi kontak rapat yang meningkatkan kes positif Covid-19. Situasi seperti ini hampir pasti akan berlaku jika pembukaan persekolahan pada 20 Januari ini.
"Justeru demi kemaslahatan rakyat keseluruhan, saya pohon agar Kementerian Pendidikan Malaysia mempertimbangkan semula keputusan pembukaan sesi persekolahan, dan sewajarnya ditangguhkan," katanya lagi.
Comments