Cabar jatuhkan kerajaan Johor: Shahrir Samad ingkar titah Sultan? - AMK Johor



Cabaran Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin agar partinya menarik sokongan daripada pentadbiran Menteri Besar (MB) Datuk Hasni Mohammad seolah olah ingkar kepada titah Sultan Johor.


Menurut Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Johor, Faezuddin Puad, titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebelum ini yang tidak mahu ketidakstabilan politik Johor sewajarnya dijunjung oleh ahli politik veteran seperti Shahrir.


Katanya, jika ADUN Bersatu diarah menarik diri dari kerajaan BN Johor maka rakyat akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagaimana di Melaka.


"Baginda Sultan Ibrahim sebelum ini telah bertitah ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat DUN Johor ke-14 agar semua parti politik tidak melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan ketidakstabilan politik.


"Lalu apakah keperluan Shahrir Samad mencabar Bersatu untuk tarik sokongan kepada Menteri Besar? Apakah Shahrir cuba menggagalkan titah Sultan Ibrahim?


"Sebagai sebahagian daripada kerajaan, sepatutnya Shahrir berkerjasama erat dengan Bersatu dan tidak mengeluarkan kenyataan mencabar Mahiaddin menjatuhkan Kerajaan Negeri.

"Masakan Shahrir tidak tahu PRN akan terpaksa diadakan sekiranya cabaran itu disambut Mahiaddin?" tanyanya.


Tegas Faezuddin lagi, tiada gunanya menumbangkan kerajaan dan terpaksa melaksanakan PRN sebagai mana di Sabah atau Melaka ketika pandemik Covid 19 masih belum sepenuhnya reda.


Katanya, rakyat akan menjadi mangsa jika berlaku jangkitan Covid yang berleluasa akibat proses PRN.


"Cukup-cukuplah dengan adegan Umno - Bersatu saling bercakaran dan saling menjatuhkan. Di peringkat pusat Umno menjatuhkan Mahiaddin, di peringkat negeri Perak, Umno menjatuhkan Ahmad Faizal Azumu, di Melaka pula pemimpin Umno sendiri yang menjatuhkan kerajaan. Takkan Umno - Bersatu nak ulang adegan semua ini di Johor?


"Dalam keadaan pandemik Covid-19 yang masih melanda negara ketika ini, sewajarnya kita semua saling kerjasama memikirkan tentang kebajikan rakyat serta mencari solusi bagi membaiki kedudukan ekonomi maka hentikanlah segala percaturan politik merebut kuasa," katanya lagi.

0 comments