Sekatan oleh pihak Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) terhadap dakwaan amalan buruh paksa syarikat pengeluar sawit terbesar Malaysia Sime Darby Plantation perlu disiasat oleh Kementerian Sumber Manusia.
Menurut Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah, Menteri tidak seharusnya memberi alasan mudah di Parlimen bahawa piawaian yang diguna pakai oleh AS lebih ketat berbanding negara ini untuk mendiamkan hal tersebut.
Kata Sivarasa, setiap perkerja sama ada buruh tempatan atau asing perlu dihormati dan dilayan secara bermaruah walaupun mereka bekerja di dalam sektor 3D (kotor, berbahaya & sukar).
"Selasa lalu di Dewan Rakyat, saya bertanya kepada Menteri Sumber Manusia M Saravanan berhubung hasil siasatan terhadap dakwaan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS terhadap amalan buruh paksa Sime Darby Plantation.
"Menteri itu memberitahu Parlimen bahawa tiada amalan buruh paksa oleh pengeluar minyak sawit terbesar dunia itu. Hanya terdapat kegagalan untuk melaporkan kemalangan yang melibatkan pekerja asing
"Saravanan juga berkata AS mempunyai kayu ukur yang berbeza mengenai buruh paksa. Hanya kerana Saravanan berkata bahawa tafsiran AS tentang buruh paksa terlalu ketat, itu tidak bermakna kita harus berpuas hati dengan standard kita yang rendah," katanya.
Menurut Sivarasa lagi, kerajaan sebekum ini telah membentangkan pindaan di dalam Akta Kerja untuk memasukkan buruh paksa.
Oleh itu katanya, Menteri seharusnya bertindak berdasarkan undang undang sedia ada walaupun mengikut piawaian Malaysia buruh paksa tidak boleh diterima pakai.
"Saravanan juga berkata disebabkan kemalangan yang tidak dilaporkan melibatkan seorang pekerja asing tersebut, pihak Kastam dan Perlindungan Sempadan AS telah mengeluarkan Perintah Pelepasan Penahanan (WRO) ke atas minyak sawit Malaysia.
"CBP AS juga secara terbuka menyatakan bahawa mereka mempunyai bukti munasabah bahawa Sime Darby telah melakukan amalan buruh paksa mengikut piawaian antarabangsa.
"Ini sememangnya satu alasan yang lemah kerana ini bukan syarikat Malaysia pertama yang terlibat dalam amalan buruh yang tidak menyenangkan itu. CBP mendakwa badan itu mempunyai bukti yang mencukupi maka ini pastinya lebih daripada kegagalan memfailkan laporan kemalangan jika larangan seperti ini dilaksanakan.
"Adalah jelas CBP tidak akan mengeluarkan larangan sedemikian dengan hanya kegagalan mudah untuk melaporkan (kemalangan)," katanya.
Sivarasa mempersoalkan adakah Menteri berasa selesa apabila orang lain mendakwa syarikat Malaysia mengamalkan perhambaan moden?
Kegagalan untuk mematuhi piawaian negara lain, katanya, sudah pasti menjejaskan usaha negara mengembangkan pasaran minyak sawit ke luar. Menteri harus bertindak dengan lebih serius untuk membantu Sime Darby membersihkan namanya dan pekerja.
Oleh itu, tegas Sivarasa, tidak sepatutnya ada penutupan terhadap penemuan siasatan atau sekurang-kurangnya perlu ada penyiasatan yang menyeluruh dan bebas.
"Saya menggesa kerajaan Malaysia mengambil serius perkara ini dan membetulkan isu global ini dengan segera untuk melindungi Sime Darby dan kepentingan pekerja.
"Jika dibiarkan, lebih banyak syarikat Malaysia mungkin tidak dapat menjalankan perniagaan di peringkat antarabangsa dan kita mungkin dijauhi oleh bakal pelabur dan peniaga.
"Berdasarkan keadaan ekonomi semasa, Kerajaan Malaysia harus menubuhkan pasukan petugas di bawah Parlimen untuk meneliti dakwaan amalan buruh paksa ini dan membentangkan penemuannya kepada Dewan Rakyat secepat mungkin," katanya lagi.
Comments