Spekulasi kononnya ada perundingan di antara Pakatan Harapan dan Umno menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 adalah fitnah jahat daripada kelompok ahli politik yang kekeringan modal.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tidak wujud sama sekali perundingan dengan mana mana parti politik sebagaimana yang ditohmah Pas dalam kempen politik mereka.
"Apa ustaz Hadi kata, 'percayalah PH ini dan Umno berpakat'. Pakat apa? Kamu ustaz, cakap soal agama, soal Islam dan akhlak mana buktinya? Tak habis habis fitnah.
"Bila kita pakat dengan Umno? Dengar sini orang Pas, Umno dan Bersatu, kita masuk PRU 19 November dengan tekad untuk menang sekurang kurangnya 112 kerusi. Simple majority, itu target kita.
"Saya bukan macam Presiden Pas pergi mengemis ke Zahid minta sokongan," katanya dalam ceramah Jelajah Harapan Kedah, malam tadi.
Presiden KEADILAN itu mengimbau kembali episod pahit berunding dengan Umno ketika pimpinan utama parti itu bersetuju untuk mengangkat beliau sebagai Perdana Menteri (PM) pada Ogos 2021 lalu.
Katanya, pelbagai tuntutan dibuat oleh pemimpin Umno termasuk yang tidak masuk akal dan itu memberi pengajaran berguna untuk tidak bersama parti berkenaan pada masa hadapan.
"Buat apa kita nak runding? Kalau runding dengan Umno, dia kata (tuntut) menteri ini ini ini. Dengan Anthony Loke, 42 kerusi parlimen DAP bagi sokongan, sepatah dia tak sebut saya nak menteri ini atau DAP tuntut itu. Mat Sabu tak pernah letak syarat.
"Kalau runding dengan Umno, adakah mereka akan berpakat tanpa menuntut macam macam kontrak, jawatan?" tanyanya.
Tegas Anwar, isu utama ketika ini adalah kebajikan rakyat. Katanya, kerajaan baharu perlu sepenuhnya anggota PH dan tidak melibatkan menteri gagal yang memerintah sejak 3 tahun kebelakangan ini.
"Soalnya harga barang, kerajaan 70 menteri 3 tahun dia buat apa? Jawatankuasa harga barang, tak selesai. Jawatankuasa jemaah menteri harga barang, tak selesai. Jawatankuasa jihad harga barang, tak selesai. Saya nak jawab, menteri muka muka ini tak mampu selesaikan masalah ekonomi negara.
"Kita tahu penyelesaiannya ialah kestabilan politik dan beri keyakinan. Orang (luar) tak akan melabur, yang dalam negara akan keluarkan wang.
"Jadi dia perlu pimpinan tegas mengatur dasar nak selamatkan rakyat. BN - PN terbukti dalam 3 tahun ini hanya merosakkan ekonomi negara," katanya.
Calon Perdana Menteri ke 10 itu juga mengakui sokongan pelabur pelabur dari Barat, Timur termasuk negara Arab akan meningkat sekiranya Malaysia dikembalikan politik dan ekonominya ke landasan yang betul.
Beliau berkata, dalam pertemuannya dengan pelabur Arab mereka tidak mahu ke Malaysia kerana ketidakstabilan politik dan rasuah yang berleluasa. Sekiranya hal itu berakhir maka pelaburan akan kembali mencurah.
"Saya baik dengan Turki. Turki antara negara Islam yang nampak meningkat dan punyai potensi sebagai gergasi ekonomi.
"Pelabur Arab lain seperti Qatar, Abu Dhabi mereka kata kerajaan (Malaysia) tidak stabil, mereka tidak ada keyakinan. Ada yang menyebut kepada saya dia berdoa kepada Allah, kalau betul kita (PH) naik dan stabilkan kerajaan, mereka akan datang dan melabur di Malaysia
"Bila melabur (kita) bukan minta komisyen. Mereka tahu (skandal) LCS, tahu 1MDB, seluruh dunia tahu, melainkan pimpinan Pas," katanya.
Justeru, Anwar menyeru agar rakyat membuat perubahan pada 19 November ini dan PH katanya berjanji untuk cuba membawa perubahan sebaik mungkin bagi rakyat semua kaum, semua agama di Malaysia
Comentarios