Umat Islam seharusnya berasa bersyukur kerana masih dapat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan dan menyambut hari raya Aidilfitri di rumah, walaupun negara masih diancam dengan wabak COVID-19.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata kekangan aktiviti ziarah-menziarah ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sepatutnya memberikan kesedaran kepada umat Islam terhadap makna sebenar sambutan hari raya.
"Dalam kita berdepan dengan wabak yang merata-rata dan tidak putus-putus kemaraannya, kita harus bersyukur masih lagi dapat berpuasa, berbuka dan berterawih dengan penuh kejujuran dan beribadat.
"Begitulah juga dengan cara kita berhari raya. Kebiasaannya, orang berbondong-bondong balik kampung, sebahagiannya dengan maksud tersirat untuk membandingkan anak siapa lebih berjaya, menantu mana yang bergaya, sehinggakan silaturahim tinggal menjadi permukaan sahaja," katanya menerusi perutusan Aidilfitri.
Amirudin menjelaskan, terdapat umat Islam yang sudah tersimpang jauh dalam kehidupan mereka sehingga mengabaikan ajaran agama, namun COVID-19 membuatkan masyarakat kembali kepada kehidupan yang mulia.
"Budaya kunjung-mengunjung yang bercirikan ukhuwah adakala cair dalam gemerlap perhiasaan dan kebendaan, jauh meninggalkan pengukuhan hubungan keluarga dan kejiranan.
"Kegilaan glamor dan budaya konsumerisme berlebihan benar-benar mengherotkan nilai kehidupan yang baik dalam rutin seharian, termasuk dalam konteks ibadah kepada Tuhan.
"Covid-19 dianggap ancaman kepada kelestarian hidup, namun ternyata ia juga mampu mengembalikan kita kepada norma yang mulia ataupun kepada kebiasaan yang boleh juga kita sebut sebagai “the real normal” yang sewajarnya dibiasakan." katanya.
Amirudin juga menyeru rakyat supaya terus bersabar, walaupun sudah hampir tiga bulan terpaksa duduk di rumah akibat ancaman COVID-19.
"Benar, Covid-19 meresahkan dan menyusahkan. Tidak perlu diulang kebiasaan-kebiasaan baharu yang menjengkelkan. Namun, ia juga merupakan wadah terbaik kita untuk bermuhasabah dan kembali kepada fitrah kemanusiaan dalam menempuh kehidupan.
Bagi saya, mungkin inilah makna kemenangan kembali kepada fitrah setelah sebulan berjuang di medan Ramadan.
"Walau bagaimana sekali pun, nilai kekeluargaan dan kesepakatan kejiranan harus dikekalkan. Walaupun tidak ada lagi kunjung-mengunjung dan rumah terbuka, tetapi dengan saluran dalam talian, ia masih boleh dikekalkan dengan harapan kita sedar tentang fitrah," katanya lagi.
Comments