Laporan tahunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seharusnya dibentang terus ke parlimen dan tidak lagi melalui beberapa jawatankuasa sebagaimana amalan pada ketika ini.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Dewan Rakyat seharusnya mendapatkan laporan 'segar' daripada SPRM, bukannya yang telah melalui pelbagai liku dan disemak oleh 3 panel berasingan. Iaitu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) seksyen 13(1); Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) seksyen 14(1) dan Jawatankuasa Aduan seksyen 15(1) di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
"Di bawah Akta SPRM dinyatakan SPRM dikehendaki mengemukakan laporan tahunannya kepada LPPR untuk diteliti (seksyen 13(5)(e)). SPRM juga dikehendaki mengemukakan laporan tahunannya kepada JKMR (seksyen 14(1)(b)) untuk diperiksa.
"Saya berpendapat, laporan tahunan SPRM perlulah dibentang terus ke Dewan Rakyat untuk dibahaskan. Amalan sekarang di mana laporan tahunan SPRM perlu dibentangkan dulu kepada LPPR dan kemudian LPPR setelah meneliti laporan itu perlu kemukakan kepada JKMR dan JKMR dikehendaki memeriksa ulasan LPPR di bawah seksyen 14(1)(c) dan kemudian setelah mesyuarat demi mesyuarat perlu pula membuat laporan tahunan JKMR untuk dikemukakan kepada Perdana Menteri. Kemudian di bawah seksyen 14(5) Perdana Menteri dikehendaki membentangkan laporan tahunan JKMR itu di Parlimen.
"Pusingan berbelit-belit ini macam melalui satu round-about ke satu round-about menyebabkan laporan asal SPRM tidak sampai ke Parlimen. Ini perlu dirombak atau direformasikan," kata Hassan dalam kenyataan hari ini.
Sebagai perbandingan, kata anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah itu, laporan Suhakam baru baru ini telah dibahas di dewan tanpa melalui sebarang jawatankuasa.
Begitu juga, katanya, Laporan Ketua Audit Negara yang dibentang dan dibahaskan tanpa diteliti oleh mana mana panel terlebih dahulu.
"Dari pengalaman saya selama dua tahun sebagai anggota JKMR yang dilantik oleh Yang diPertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri di bawah peruntukan seksyen 14(2), mencadangkan supaya laporan SPRM (tahun ini) terus dibawa ke Parlimen, di Dewan Rakyat dan di Dewan Negara untuk dibentang dan dibahaskan oleh kedua-dua dewan tersebut," katanya.
Manakala panel dan jawatankuasa yang wujud, cadang Hassan, boleh menumpukan sepenuh perhatian melakukan tugas mengkaji laporan secara keseluruhan dan mencadangkan tindakan.
"Selepas dibentang dan dibahaskan di Parlimen maka ketiga-tiga panel tersebut perlu membuat kerja-kerja susulan lebih terperinci dan menyeluruh untuk pada akhirnya membolehkan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah mengemukakan laporan kepada Perdana Menteri dalam memenuhi fungsinya di bawah seksyen 14(1)(a), iaitu untuk menasihati Perdana Menteri mengenai apa-apa aspek masalah rasuah di Malaysia," katanya lagi.
Dengan reformasi dalam membahaskan laporan SPRM di parlimen, tegas Hassan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan lebih dibantu dalam kerja kerasnya memerangi rasuah.
Comentários