
Speker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun diminta mengkaji semula usul yang dibawa oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham yang ditolak sebelumnya untuk membahaskan dan mengundi berkenaan Proklamasi Darurat.
Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen berkata demikian dalam sesi memberi pandangan kepada perjalanan mesyuarat khas Parlimen, pagi ini.
"Ramai membangkitkan isu (sesi) penerangan mengikut 14 (1) hari ini tidak mengikut perkara 150 (3) Perlembagaan dan perkara ini boleh diselamatkan dengan usul yang dibawa oleh Port Dickson dan Beruas supaya Parlimen dapat membuat ketetapan mengikut Perkara 150 (3).
"Kalau tidak, Parlimen dihalang menunaikan kewajipan dan kita semua telah angkat sumpah, Speaker juga angkat sumpah memelihara dan membela Perlembagaan.
"Jelas peraturan mesyuarat tidak boleh mengatasi Perlembagaan dan tanggungjawab kita semua sebagai Ahli Parlimen memang sudah jelas.
"Semalam 17,000 kes positif (Covid 19). Jumlah yang mati 7,000. Berapa lagi yang akan mati dalam tempoh 6 bulan. Ini semua tanggungjawab kita.
"Saya minta Speaker kaji semula keputusan supaya usul dari Port Dickson dan Beruas dibahas dan satu pengundian dapat dibuat," kayanya.
Menurut William lagi, penolakan membahaskan usul tersebut tersebut merupakan pencabulan kepada undang-undang dasar negara dalam proses membuat undang-undang.
"Lebih parah apabila usul ini ditolak perkara asas Perlembagaan dimusnahkan kerana hak perundangan adalah hak dewan ini, bukan hak eksekutif.
"Dan ini termasuk undang-undang darurat, mekanimse 150 (3) adalah mekanisme Parlimen dapat memantau dan ada kuasa bila darurat berlaku. Bila Parlimen tidak bersidang, eksekutif mengadakan proklamasi darurat.
"Tetapi 150 (3) berkata, bila Parlimen bersidang inilah hak dan tanggungajawab untuk membuat ketetapan. Kalau tidak, peranan Parlimen dimusnahkan.
"Saya minta Speaker. Kamu seorang peguam, bagaimana kamu akan menghadapi mangsa yang akan meninggal dalam 6 bulan akan datang (akibat Covid 19). Jadi benarkan usul Port Dickson dan Beruas dibentangkan," katanya lagi.