Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyalahkan Kerajaan Negeri Selangor kerana lewat bertindak menangani dan memindahkan mangsa banjir pada pertengahan Disember 2021 lalu amat tidak bertanggungjawab.
Ismail dalam ucapannya di sidang khas Dewan Rakyat pagi tadi berkata Jabatan Meteorologi telah mengeluarkan enam amaran cuaca yang boleh mengakibatkan hujan lebat berterusan sebelum banjir besar melanda Selangor pada 18 Disember.
Bagaimanapun katanya, amaran itu tidak diendahkan sesetengah pihak yang terlibat dalam pengurusan bencana kerana terdapat andaian hanya negeri di Pantai Timur sahaja akan terjejas dengan hujan lebat akibat angin monsun Timur Laut.
Bagi Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli, ucapan PM Ismail menunding jari kepada kerajaan Selangor itu tidak adil sama sekali kerana Kerajaan Negeri telah bertindak mengikut keupayaan yang dimiliki. Namun, katanya Kerajaan Persekutuanlah yang tidak bersedia mengerahkan aset aset penting dalam proses evakuasi mangsa pada hari hari terawal banjir.
Di samping itu, menurut Juwairiya lagi, ramalan Jabatan Meteorologi juga tidak tepat menggambarkan keadaan bencana yang akan berlaku
"Ramalan dan amaran oleh Jabatan Meteorologi tidak tepat. Ia perlu dinaiktaraf kepada sistem yang lebih baik dan teknologi baru," ujarnya
Manakala di Twitter beliau berkata, amaran bahaya banjir hanya dikeluarkan oleh jabatan itu selepas sehari suntuk hujan lebat dan keadaan telah terlewat.
"Hanya pada petang 18 Disember, ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan tahap bahaya bagi negeri Selangor walaupun hujan lebat berterusan sejak 17 Disember,” jelasnya.
Beliau turut memuatkan tangkap layar ramalan MetMalaysia pada 17 Disember yang tidak membayangkan ancaman banjir tetapi hanya dikeluarkan pada jam 2 petang 18 Disember.
Tambah Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat juga tidak siapsiaga menerima mangsa banjir sehingga 70,000 orang.
"Kesiapsiagaan JKM untuk kapasiti 5,000 mangsa sahaja, iaitu tahap bencana biasa, kerana tiada amaran awal bencana (banjir) besar," katanya.
Di samping itu, Juwairiya mempersoalkan spesifikasi Rancangan Tebatan Banjir oleh Kerajaan Persekutuan yang dibina mengikut ukuran lama, cuma berkapasiti curahan hujan 100mm, sedangkan banjir baru baru ini curahan hujan lebih 300mm.
Beliau juga mendedahkan isu kelemahan bantuan banjir dari NADMA yang jauh daripada mencukupi, malah di DUN beliau bantuan khemah tiba selepas 4 hari.
"Aset bencana tidak disediakan secukupnya oleh NADMA kepada negeri. Misalnya di kawasan saya, di Kuala Selangor, hari ke 5 baru dapat khemah untuk Pusat Pemindahan Sementara
"Bekalan makanan dan keperluan asas juga tidak mencukupi seperti selimut, toto, toiletries. Semua ini di bawah NADMA," bidasnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan peruntukan yang lebih besar disediakan untuk menghadapi bencana banjir dengan kerjasama pusat - negeri pada masa hadapan.
Yorumlar