Tragedi banjir besar di kampung Ibol, Kupang, Baling, Kedah yang mengorbankan 3 nyawa dan menjejaskan 800 penduduk telah lebih dua minggu berlalu, namun Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor masih tidak mengumumkan sebarang tindakan jelas agar tragedi serupa tidak berulang di masa hadapan.
ADUN Bakar Arang, Simon Ooi Tze Min berkata, strategi yang tersusun perlu diambil memandangkan banjir kepala air di Baling berlaku akibat kelemahan pihak Kerajaan Negeri meneliti punca banjir hampir sama sebelumnya di Gunung Jerai, Yan pada September tahun lalu.
"(Selain itu) kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi juga saling bercanggah sejak mengambil jawatan tersebut pada tahun 2020.
"Pada Februari 2021, beliau berkata banjir di Baling disebabkan projek Musang King dan pada Julai 2020 (seperti dikatakan) sudah dihentikan tanaman durian di Gunung Inas. Tetapi apa yang telah dihentikan dan tindakan semasa itu?" tanya Simon.
Bagi Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN itu, tinjauan MB menggunakan helikopeter selepas banjir dan komennya bahawa punca banjir bukan disebabkan ladang Musang King berikutan takungan air di ladang durian Gunung Inas tidak pecah hanya menimbulkan lebih banyak kontroversi kerana pada 18 Julai, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengesahkan punca banjir Baling disebabkan kolam takungan projek tanaman durian Musang King yang telah pecah.
"Ini (kenyataan KASA) jelas bercanggah dengan kenyataan MB Kedah. Selepas itu MB akur dengan keputusan laporan KASA.
"(Hasilnya) pendirian dan pandangan MB Kedah (dilihat) berputar putar tentang punca banjir dan kebenaran penanaman pokok durian di kawasan hutan simpan," katanya.
Justeru Simon ingin tahu apakah pendirian sebenar Sanusi terhadap projek pembalakan ladang hutan atau Ladang Sejahtera yang dimulakan pada zaman pemerintahan bekas MB Kedah dari Pas, Tan Sri Azizan Abdul Razak.
Beliau bertanya adakah cara pembalakan projek ladang hutan dengan cara "cuci mangkuk" atau tebang habis menjadi punca banjir sejak kebelakangan ini?
"Saya berpendirian cara pembalakan ladang hutan adalah tidak sesuai dan tidak boleh diteruskan. Penanaman semula di semua tempat itu sepatutnya dijalankan segera.
"Saya juga mahu tahu apakah pendirian Kerajaan Negeri tentang penanaman pokok spesis durian termasuk Musang King di kawasan hutan simpanan?
"Projek ladang durian yang dimulakan oleh bekas MB Kedah dari BN Umno, Ahmad Bashah ini patut dibenarkan atau ditolak?
"Adakah projek ladang durian merupakan punca banjir? Juga kawasan hutan mana lagi telah diberi kelulusan penanaman durian selain Gunung Inas? Berapa keluasan yang terlibat?
"Ramai penduduk rasa bimbang selepas kejadian di Baling. Penduduk di kawasan Sik, Padang Terap, Kulim, Bandar Baharu turut risau sebab kawasan mereka juga ada gunung dan hutan yang terlibat dengan pembalakan," katanya lagi.
Simon memberi peringatan agar MB kedah tidak lagi bersikap sambil lewa selepas dua tragedi dan tidak perlu menunggu pula kejadian ketiga sebelum serius bertindak.
Kata Ketua Cabang KEADILAN Sungai Petani itu, kerugian yang ditanggung oleh rakyat jauh lebih besar daripada keuntungan pembalakan dan projek tanaman durian.
Comments