Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli yakin Banci Pertanian 2024 mampu merungkai masalah terkait industri pertanian negara.
Melalui satu hantaran di laman Facebooknya Rafizi berkata, bancian tersebut yang bakal dilaksana Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tidak lama lagi bertujuan pengumpulan data menyeluruh mengenai industri pertanian.
Ia jelasnya akan dapat membantu perancangan pertanian moden di negara ini untuk 10 tahun akan datang.
"Semua ini tidak akan berlaku hanya melalui slogan atau arahan dasar. Ia memerlukan data yang lengkap dari seluruh negara, berapa banyak tanah yang digunakan untuk pertanian, tanaman apa yang diusahakan, mutu tanah yang berbeza-beza, topografi bumi, jumlah pekerja, kos untuk menghasilkan produk pertanian dan sebagainya
"Dengan perancangan yang baik, data lengkap, disusuli dengan pelaksanaan berfokus akan merungkai masalah keterjaminan makanan dan kestabilan penawaran serta permintaan makanan dari satu tahun ke satu tahun," kata beliau dipetik.
Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Nor Azmie Diron pada 20 Okt lalu meminta semua pihak memberi kerjasama penuh dalam bancian pertanian itu.
Menurutnya, bancian itu sebagai sebahagian usaha mencapai sasaran meningkatkan pengeluaran sumber makanan dan mengurangkan kebergantungan terhadap makanan import.
Sementara itu Rafizi menyifatkan salah satu punca Malaysia terdedah kepada risiko kenaikan harga makanan mendadak adalah kerana industri pertanian berkaitan makanan tidak aktiviti besar dalam ekonomi negara.
Malaysia jelasnya hanya melaksana bancian pertanian sebanyak tiga kali dengan kali terakhir dilaksanakan pada 2005 ketika pentadbiran Abdullah Badawi.
"Ia langsung tidak dijalankan semasa pentadbiran Tun Mahathir Mohamad atau Najib Razak – yang memberi gambaran bagaimana dalam dekad-dekad terdahulu, tumpuan perancangan pertanian tidak menggunakan data yang paling terkini dan tepat," jelasnya.
Comments