Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Syed Badli Shah Syed Osman menempelak Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali kerana ikut campur dalam urusan Pakatan Harapan (PH) menentukan calon Perdana Menteri sekiranya gabungan itu cukup majoriti untuk mengambil alih Kerajaan Persekutuan.
Menurut Syed Badli, daripada Azmin menyibukkan diri dengan urusan PH, lebih baik beliau mengira hari berapa lama lagi akan bertahan sebagai wakil rakyat Gombak sementara rakyat sedang menunggu untuk menolak beliau berikutan pengkhianatan mandat yang diberikan kepada KEADILAN.
Syed Badli juga meminta Azmin mengosongkan kerusi Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa serta bertanding semula mendapatkan mandat rakyat atas tiket Bersatu atau pun BN sekiranya parti berkenaan menerima beliau.
"Azmin seharusnya mengosongkan kerusi Parlimen Gombak dan Dun Bukit Antarabangsa seterusnya memulangkan kerusi ini kepada rakyat.
"Kelihatan parti-parti politik termasuk Umno menyedari yang Azmin telah mengkhianati mandat rakyat.
"Justeru itu saya yakin semua parti politik tidak akan membuka pintu sewenang-wenangnya buat Azmin dan kumpulannya kerana mereka juga berisiko untuk dikhianati oleh Azmin dan sekutunya.
"Sementara PH pula sedang memuktamadkan calon perdana menteri dengan cara musyawarah dan konsensus," katanya dalam satu kenyataan.
Azmin pada 17 Jun lalu berkomentar berhubung isu calon Perdana Menteri dengan sindiran "cukup-cukuplah" membangkitkan isu pemilihan calon perdana menteri. Penyataan itu dikecam banyak netizen kerana beliaulah punca krisis politik Malaysia yang tidak berkesudahan selepas melancarkan Langkah Sheraton yang menjatuhkan kerajaan PH pada Februari lalu.
Comments