
Status Sabah dan Sarawak yang ditukar dari negeri ke wilayah menimbulkan tanda tanya sama ada ia bersifat progresif atau sekadar retorik politik semata-mata.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sabah, Datuk Christina Liew berkata langkah menukar status kedua-dua negeri di Malaysia Timur boleh dilihat positif jika sebagai 'rakan kongsi setara' dengan Semenanjung Malaysia.
Namun, bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu mempersoalkan apakah pemimpin Sabah dan Sarawak telah dirundingi mengenai perubahan status wilayah terbaharu ini.
"Kita perlu tahu bagaimana hal itu akan dilaksanakan kerana perincian mengenai perubahan tersebut tidak diumumkan dengan jelas.
"Sebagai entiti politik, bagaimana posisi Sabah terhadap negeri-negeri di Semenanjung? Apakah kita rakan setara di Persekutuan seperti yang dituntut dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)?
"Dengan kekurangan maklumat, ia hanyalah satu penyelesaian yang tidak lengkap terhadap transformasi untuk Sabah dan rakyatnya," katanya.
Christina yang juga Ahli Parlimen Tawau dan ADUN Api-Api menekankan bahawa rakyat mempunyai hak untuk mengetahui implikasi atau jangkaan terhadap perubahan tersebut.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengisytiharkan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah, namun tidak memperincikan sama ada perubahan status itu membawa kepada perubahan dari segi pembangunan di kedua-dua negeri itu.