Audio perbualan kononnya di antara Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi dan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular dalam kalangan pimpinan dan ahli Umno bukan sahaja palsu malah taktik basi untuk menimbulkan kecurigaan dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH).
Datuk Seri Anwar sebaliknya berkata, taktik seperti itu tidak akan mampu menggugat perpaduan dalam PH.
"Ini nak gunakan kita, nak lawan politik dalam Umno. Nak gunakan kononnya perbualan saya dengan Datuk Seri Zahid untuk politik Bersatu nak menikam pimpinan Umno.
"Ini bukan kerja saya. Sebab itu saya juga arah pegawai saya buat laporan polis, biar siasat siapa yang punca ini.
"Tapi ada suara macam saya. Saya tak peduli. Nyata ada usaha untuk memfitnah, merekayasa dengan lebih canggih supaya dengan KEADILAN orang tanya (persoal), DAP atau Amanah akan persoal. Nasib baik kita ini (dalam PH) rakan setia dan tidak mudah tergugat dengan fitnah macam ini," katanya dalam ceramah pelancaran Majlis Perasmian dan Pelancaran Bilik Gerakan Utama KEADILAN Selangor di Shah Alam, malam tadi.
Menurut Pengerusi PH itu lagi, taktik tersebut sebenarnya mendedahkan betapa gundah gulananya rejim PN untuk mempertahankan kuasa sehingga sanggup menggunakan apa sahaja cara bagi melemahkan lawan politik.
"Zahid pagi tadi menafikan keras. Saya malam ini ingin menyatakan, bukan sahaja penafian, tetapi ternyata ia ini menunjukkan betapa gundah gulananya pimpinan negara ini mencari apa sahaja tipu helah.
"Dia dah ugut, beli orang, tak makan. Maka dia sebarkan fitnah. Bukan taktik baru, taktik lama. Kita harus matang dalam hal ini. Saya percaya kita hadapi dengan berani dan nyatakan ini tidak akan menggugat usaha kita untuk mencabar mereka dan mendedahkan penipuan serta rasuah dan penyelewengan dan ketakutan mereka menghadapi rakyat," katanya lagi.
Semalam tular dalam kalangan pimpinan dan penyokong Umno kononnya audio perbualan antara Zahid dan Anwar mengenai Perhimpunan Agung Umno (PAU) lebih seminggu lalu.
Dalam audio itu terdapat suara kononnya Anwar memuji Zahid dalam menekan PN melalui PAU. Bagaimanapun pendedahan audio seperti itu dikritik netizen yang menganggap ia hanya akan menyebabkan orang luar kurang percaya kepada sekuriti data pengguna di Malaysia.
Comments