top of page

Anwar kesal kelemahan serius Kerajaan Persekutuan tangani banjir



Banjir yang berlaku mulai 18 Disember lalu bukanlah kejadian asing kerana pada Januari tahun ini juga banjir besar telah melanda wilayah Pantai Timur Semenanjung.


Menurut Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hujan lebat berterusan yang boleh diramalkan sepatutnya membolehkan agensi kerajaan lebih bersiap sedia menghadapi bencana.


"Saya kesal dengan sikap dan cara negara ini dipimpin tatkala rakyat berbilang kaum sedang dirundung malapetaka banjir setelah hujan lebat berterusan selama beberapa hari pada hujung minggu yang lalu.


"Setakat hari ini, 17 mangsa telah dilaporkan maut di Selangor dan 8 mangsa di Pahang, manakala lebih 60,000 lagi kehilangan tempat tinggal tanpa ada tanda-tanda jelas berhubung keadaan rumah dan tahap kelangsungan hidup seusai banjir surut.


"Kelemahan-kelemahan utama berhubung tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi bencana kini terpampang jelas.


"Tindakan lembab dari Kerajaan Persekutuan terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ditambah pula dengan penyelerasan yang kucar kacir dengan pihak kerajaan negeri serta dengan agensi-agensi tempatan ternyata merumitkan krisis ini kepada rakyat dan menjadikan ia satu malapetaka tadbir urus," katanya.


Turut ditegur Ahli Parlimen Port Dickson itu adalah kelewatan menggerakkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)


Anwar melawat mangsa banjir di Padang Jawa dan Sri Muda yang amat terkesan di Selangor

Menurut beliau, ATM yang berpengalaman dalam operasi memindahkan mangsa banjir sepatutnya diarahkan oleh Perdana Menteri lebih awal ke lapangan


"Kelewatan dalam menggerakkan ATM telah memungkinkan beberapa pegawai untuk bertindak dengan inisiatif sendiri dalam membantu warga yang terkesan.


"Penyelerasan yang lemah antara pasukan sukarelawan dan angkatan tentera hanya menambah kekeliruan dan kekecewaan.


"Krisis ini adalah mimpi buruk yang nyata kepada Perdana Menteri tatkala malapetaka tadbir urus ini melatari 100 hari pentadbirannya. Kegagalan demi kegagalan dalam mengurus bencana ini hanya menonjolkan tahap keupayaan sebenar kerajaan yang dikemudi beliau, " katanya.


Tegas Pengerusi Pakatan Harapan itu, kerajaan dan pimpinan yang gagal menonjolkan kebersamaan dengan rakyat sedari awal bencana ini, tidak mungkin mampu memberi keyakinan kepada rakyat bahawa mereka akan mampu melonjakkan negara ke arah pemulihan dari musibah, termasuk masalah wabak Covid 19 yang masih mengganas.


Sebaliknya, Anwar lebih kagum kepada rakyat yang tetap bersemangat kental menghadapi bencana dan membantu sesama mereka.


"Sewaktu saya turun mengagihkan bantuan kepada rakyat terkandas, saya turut mendengar dan menyaksikan sendiri babak-babak yang luar biasa yang memaparkan sikap belas dan keprihatinan yang tinggi. Saya turut berkongsi kekecewaan mereka berhubung kelemahan kerajaan dalam krisis ini.


"Perdana Menteri sekarang ini mesti ambil tindakan untuk menubuhkan jawatankuasa diraja termasuk jawatankuasa Parlimen dalam menambahbaik tahap kesiapsiagaan bencana. Dalam masa yang sama, kerajaan dituntut untuk membantu rakyat mendapatkan semula rumah mereka yang dibadai banjir dan tidak memandang remeh soal pemulihan sesudah banjir.


"Kerajaan mesti punyai sikap ketelusan dan kebertanggungjawaban yang tinggi kepada orang ramai dan mesti mengadakan sidang media harian bagi mengemaskini situasi semasa banjir dan langkah menyelamat," katanya.


Dalam pada itu Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Selangor yang mengagihkan dana RM100 juta bagi memulihkan mangsa banjir dan kawasan yang dilanda banjir di negeri tersebut.


"Saya juga ingin mengucapkan tahniah atas pelbagai inisiatif dan peruntukan bantuan RM100 juta yang telah digerakkan Kerajaan Negeri Selangor kepada mangsa-mangsa banjir," katanya lagi.



0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page