Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai bertemu Yang di-Pertuan Agong, sejam lalu.
Beliau yang melakukan sidang media sebaik sahaja keluar dari Pintu 2, Istana Negara memberitahu pertemuan bersama Agong itu mengambil masa lebih satu jam dan membincangkan beberapa perkara utama membabitkan isu-isu semasa negara.
Kata Anwar, antara isu yang dibentangkan adalah mengenai kerugian besar kepada ekonomi negara sekiranya perintahan Darurat terus dikuatkuasakan di Malaysia.
"Darurat sebagaimana kita tahu, kalau ikut susur galur sejarahnya, bila kerajaan dan kabinet Perikatan Nasional (PN) kemukakan pada peringkat awal telah tidak diterima. Tetapi dikemukakan kali kedua atas nasihat (PM), dan dijalankan.
"Kita beri pandangan penerusan darurat ini akan menyebabkan kerugian kepada negara. Tidak membantu penanganan masalah Covid dan akan menjejaskan ekonomi rakyat peringkat bawahan.
"Kita tengok semua langkah (kawalan penyakit) yang boleh dilakukan tidak memerlukan darurat. Jadi kita merayu kepada Tuanku menghalang penerusan (darurat) ini sedaya upaya. Walaupun Tuanku mengatakan patuh kepada semangat Raja Berperlembagaan, mengikut nasihat Perdana Menteri (PM)," katanya.
Mengenai isu pandemik Covid 19 yang tidak terkawal, Presiden KEADILAN itu berkata, beliau memberi beberapa perkembangan mengenai senario Covid terbaharu dan mendapati Agong amat arif berkenaan hal berkenaan.
"Saya bawa beberapa perkembangan tentang Covid, ujian yang dibuat sekarang, soal jangkitan, soal kematian dan saya terharu kerana Tuanku nampak arif tentang perkembangan semasa, termasuk pandangan dari pihak lain. Umpamanya beliau mengundang beberapa pasukan termasuk pasukan Prof Adeeba (dalam menangani penyakit berjangkit).
"Jadi saya rasa hal ini juga harus diketahui oleh masyarakat, bahawa sebenarnya Tuanku ada menyampaikan hal-hal sedemikian kerana kearifan dan maklumat yang beliau ada. Saya harap semua pihak, bukan sahaja kita dalam KEADILAN dan pembangkang tetapi dalam kerajaan, mengambil perhatian Baginda bertitah. Seperti mana juga disebut oleh Tuanku Sultan Selangor semalam tentang agihan vaksin," katanya.
Pada masa sama, Pengerusi Pakatan Harapan itu turut menyentuh berkenaan pembukaan Parlimen sebagaimana yang dititahkan oleh Agong beberapa bulan lalu, tetapi tidak dilaksanakan oleh pentadbiran PM Muhyiddin.
Katanya, Tuanku dalam hal pembukaan Parlimen berpegang kepada semangat Raja Berperlembagaan dan menghormati nasihat Perdana Menteri dalam urusan seperti itu.
"Parlimen sebagaimana kita tahu, beberapa bulan yang lalu Tuanku telah mengeluarkan kenyataan untuk meminta Parlimen diadakan dengan syarat kerajaan setuju. Itu tidak dilakukan.
"Saya jelaskan hal ini kerana ada persepsi berbeza seolah-olah hal ini tidak dilakukan.
"Yang lain kita bincang soal kedudukan negara, keyakinan rakyat, keyakinan pelabur dalam negara dan luar negara yang meminta supaya ada satu perubahan yang baik dan ini perbincangan yang kita buat. Saya terima kasih dengan kesudian Tuanku mendengar secara teliti dan memberikan titah yang sewajarnya," katanya lagi.
Selain itu, Anwar juga berkata, beliau telah menyediakan laporan dan kertas kajian yang diserahkan kepada Agong.
Comments