
Generasi muda seharusnya menukar pemikiran mereka kepada lebih kritikal terhadap perkembangan politik negara.
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tidak semestinya anak muda diminta terjun ke dunia politik tetapi memadai mereka mengambil tahu dan mempunyai sedikit pengetahuan tentang politik tertamanya apabila perlu membuat pilihan.
"Masa saya muda, saya memimpin Majlis Belia Malaysia, ABIM dan kita masa itu mengasak kerajaan kerana tidak memberikan cukup pendedahan.
"Cuma anak-anak muda bangkit sendirian, tidak diberi sokongan (oleh kerajaan). Yang disokong (kerajaan) persatuan belia yang saya sebut, 'belia kompang dan pintu gerbang'. Itu yang digalakkan. Belia berkompang dan pasang pintu gerbang bila menteri melawat.
"Tetapi tanggungajwab menegakkan kebenaran, menegakkan keadilan, membicara soal pengangguran, latihan kemahiran itu sedikit sekali.
"Ini saya sebut keperluan pencerdasan. Tak ada masalah minat artis, lagu atau sukan. Tetapi kita harus mengimbangi tanggungjawab kita.
"Persoalannya siapa tentukan sama ada dasar ekonomi menitik beratkan rakyat bawahan? Itu orang politik. Siapa menentukan dasar pendidikan, kedudukan PTPTN? Siapa tentukan tatakelola kerajaan menghalang pimpinan memunggah kekayaan untuk diri mereka, orang politik.
"Jadi kalau pendirian kurang minat kepada politik, kita akan menyerahkan kuasa kepada orang sedemikian. Kemudian kita mengeluh, apalah orang politik, menyampah.
"Kamu yang pilih, tak mungkin ada perubahan kalau tak ada tindakan," katanya dalam pidato pembukaan sesi :Townhall Undi 18: Wacana Memicu Undi 18" anjuran IDE, pagi tadi.

Menurut Pengursi Pakatan Harapan itu, amat penting anak muda tahu apa yang berlaku di Parlimen dan mengapa terdapat isu kontroversi seperti Pandora Papers yang dibangkitkan.
"Kita di kalangan anak muda perlu ada minat mengetahui apa dia Pandora Papers, kenapa jadi kontroversi. Ini yang disebut pemikiran kritikal
"Kita dalam pendidikan tidak diasak untuk menyoal tetapi diminta untuk hormat atau terima sahaja. Menyebabkan tidak ada nilai nilai kritikal untuk menanya, mempertikai.
"Apakah Pandora Papers perkara baru? Tidak, sebelum ini ada 1MDB. Hutang RM32 bilion, siapa bayar? Saudara bayar.
"Belum bekerja, bapa saudara bayar. Boleh bina 32 universiti, 60 hospital, kerana kecuaian, rasuah, salah guna kuasa, pimpinan kumpul harta kita terpaksa bayar begitu banyak.
"Dan hal ini seluruh dunia tahu kerana dianggap satu jenayah kewangan melibatkan kerajaan yang terbesar di dunia," katanya.
Begitu juga soal kemiskinan, Anwar berkata, hal itu hanya boleh diselesaikan oleh kemahuan politik para pemimpin negara.
Katanya, kini kemiskinan sengaja dibiarkan dengan alasan Covid 19 dan kemerosotan ekonomi diakibatkan wabak itu. Sedangkan jurang pendapatan telah berlaku sejak bertahun lamanya.
"Sekarang semua salahkan Covid. Sebelum Covid pun kesenjangan melebar, kemiskinan tak dapat dirungkai. Apa penyelesaian? Mesti kepimpinan muda kumpul kawan kawan dan bincang hal sedemikian, bacalah karya penting.
"Kalau tidak (anak muda) yang Islam akan walak, apa pemimpin kata ikut sahaja. Bila nak boleh fikir?" katanya.
Anwar turut mempertikai cara kerajaan semasa menangani isu kaum dan agama di Malaysia yang katanya lebih kepada kepentingan politik kepartian.
Sehingga orang Melayu mempunyai stigma negatif terhadap kaum Cina dan begitulah sebaliknya.
"Hal ini (perkauman) tidak dikaji, apa yang dibangkitkan, kalau kalangan orang Melayu, masalahnya Cina, terutama DAP. 'Roket itu menikam kita'.
"Saya pergi Melaka, di masjid ada yang kata "saya dengan Datuk Seri ni saya ikut dari dulu, saya simpati, tetapi DAP macam mana?" Saya tanya macam mana? Dia kata DAP (sebab Cina).
"Itu bukan perbincangan. Kalau bincang dia beritahu masalahnya, kenyataan (DAP) begini kurang sesuai, kita boleh betulkan.
"Masalahnya kita dididik untuk apa? Untuk membenci kezaliman, rasuah, salahguna kuasa. Bukan benci kaum.
"Saya besar di kampung Melayu, belajar di Kolej Melayu tetapi saya tahu masalah Melayu terpinggir.
"Bila saya dewasa dan ada pendedahan tentang Islam dan saya dapati fahaman perkauman ditolak agama kita. Sahabat Rasul juga pelbagai kaum. (Dalam Islam) berbeza kaum itu untuk belajar dan hargai," katanya lagi.
Terdahulu, sesi berkenaan dibentangkan hasil kajian IDE oleh Profesor Dr Redzuan Othman mengenai trend Undi 18 dan natijah serta pemahaman anak muda mengenai politik negara.
Comments