Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf berikutan Pakatan Harapan (PH) terpaksa menunda pengumuman mengenai peralihan kuasa di Putrajaya ketika tempoh yang dijanjikan berakhir semalam.
Katanya, pengumuman tersebut ditangguhkan bagi mencari persepakatan bersama sekutu PH, iaitu Warisan dan Bersatu paksi Tun Mahathir.
"PH sebagai satu badan memang telah membuat keputusan tetapi kita terpaksa rujuk kepada teman-teman yang lain, termasuk Warisan dan Bersatu di bawah kepimpinan Tun Mahathir.
"Apa yang penting ditekankan ialah keutamaan PH untuk memastikan agenda perubahan ekonomi rakyat dan tatakelola serta tadbir urus baik diutamakan. Lebih baik daripada yang pernah kita lakukan. Kerana pengalaman kita menunjukkan untuk meraih dokongan rakyat kita hadapi sedikit masalah (tanpa pembuktian peningkatan ekonomi)," katanya dalam siaran langsung di Facebook tengah hari tadi.
Menurut Anwar, PH maklum akan kerosakan yang dibawa pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang melepaskan perasuah dan kleptokrat. PH juga sedar keresahan rakyat sekiranya PN lebih lama dibiarkan berkuasa. Namun, katanya agenda kebajikan rakyat perlu diutamakan untuk PH menjadi kerajaan yang berkesan dan berwibawa.
"Bagi PH hal ini lebih pokok. PH maklum perlanggaran hukum, kebobrokan yang ada dalam sistem sekarang; perundangan, badan kehakiman, melepaskan golongan kaya, ningrat, aristokrat dan menghukum golongan kecil. Itu semua perubahan yang berlaku di bawah PN.
"Bagi kita perubahan itu (menukar kerajaan) mendesak. Tetapi jangan menyegerakan sehingga melanggar prinsip perjuangan. Perubahan ini mesti dengan maksud kepedulian terhadap masalah rakyat, mesti dengan kesedaran bahawa perubahan akan memberi keyakinan kepada pelabur (kembali menanam modal) dan menjana ekonomi.
"Ini yang menjadi persoalan pokok kepada PH. Oleh kerana itu, kita memohon maaf kerana terpaksa menangguhkan pengumuman mengenai kepimpinan yang bakal menerajui negara," katanya lagi.
Pada 9 Jun lalu PH Plus mengeluarkan kenyataan akan berlaku perubahan pemerintah dalam masa terdekat dan memberi tempoh seminggu untuk menetapkan calon Perdana Menteri serta melengkapkan sokongan majoriti yang diperlukan bagi mengambil alih Kerajaan Persekutuan daripada PN.
댓글