Rang Undang undang Akta Anti Lompat Parti dilihat sebagai suatu isu yang paling sukar untuk diselesaikan dalam perjanjian memorandun kerjasama (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH).
Sejak dokumen berkenaan ditandatangani pada September 2021 fokus rakyat tertumpu kepada RUU berkenaan meskipun terdapat 17 perkara lain yang dipersetujui untuk dilakukan oleh pihak kerajaan.
Malah RUU Anti Lompat Parti yang dikatakan akan dibentang pada sidang Parlimen kali ini telah ditangguhkan pula ke satu sidang khas pada 11 April
Bagi Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil, tidak diketahui dengan jelas apakah yang menghalang pihak kerajaan daripada membentangkan segera RUU berkenaan sehingga tertangguh berbulan bulan
Katanya, bagi pihak pembangkang mereka tidak mempunyai apa apa masalah. Malah Fahmi menegaskan, jika terdapat kesukaran maka ada baiknya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat perkiraan sejauhn mana kedua dua pihak boleh memperoleh majoriti 2/3, sekiranya lepas maka bentangkan sahaja RUU berkenaan.
"Saya rasa ia boleh dilaksanakan dan tidak menjadi masalah. Kalau halangannya mendapat persetujuan mana mana parti, saya kira dalam kalangan pembangkang semua mahu, di kalangan Umno mahu. Tetapi kalau ada mana mana parti lain yang berasa kalau di situ (mereka akan rugi), adakah kita perlukan mereka untuk luluskan pindaan Perlembagaan ini? Itu soalan agak nakal. Tetapi kalau telah mempunyai majoriti mencukupi, elok kita teruskan.
"Saya tak pasti PM melihat itu satu hal yang baik atau tidak," katanya dipetik dalam forum Dialog Tiga Penjuru: Segerakan Akta Anti Lompat Parti terbitan Astro Awani, malam tadi.
Menurut Fahmi, sekiranya Akta Anti Lompat Parti itu gagal diluluskan maka rakyat tidak akan yakin lagi dengan sistem demokrasi negara yang mana wakil rakyatnya boleh melompat sesuka hati.
Kesan besar, kata Fahmi, sebagaimana yang disaksikan dalam Pilihan Raya Negeri Johor, peratusan keluar mengundi di bawah 55%.
"Rakyat menilai hal ini. Ke depan pentingnya MoU, kita katakan bukan sahaja kelangsungan PM Ismail sendiri tetapi membina sebuah negara bangsa, sistem demokrasi kita kena jaga
"Kesannya kepada rakyat, rakyat tak percaya, tak kisah. Di Johor kita lihat jumlah keluar mengundi 55% dan itu pandangan rakyat (boikot undi).
"Kalau kerajaan gagal laksanakan MoU kesannya pada persepsi, apa guna ada kerajaan, apa guna janji PM, apa guna tandatangan PM? Natijahnya ada di situ," katanya.
Keadaan akan menjadi lebih kritikal, tegas Fahmi apabila dalam PRU 15 terdapat pertambahan 5 juta pengundi muda.
Katanya, jika pengundi muda ini juga tidak keluar mengundi maka tentunya peratusan keluar mengundi kelak akan menurun lebih teruk.
Bagaimanapun, Fahmi menjelaskan, pengundi muda perlu diyakinkan yang undi mereka akan menentukan kerajaan memerintah. Sekiranya tidak maka untuk apa mereka menghabiskan masa keluar membuang undi.
"Kita berhadapan jumlah pengundi meningkat. Mereka nak pastikan bila mereka keluar mengundi nanti, hal itu bukan aktiviti membazir, keluar beratur berpanas hujan.
"Bagi saya kalau dah ada RUU Anti Lompat Parti kita tidak perlukan MoU. Kalau kita ada anti lompat parti tak perlu Mou ini lagi," katanya.
Dalam pada itu, jelas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, PM Ismail Sabri perlu bertegas mendesak kerajaan beliau meluluskan RUU Anti Lompat Parti kerana ianya akan mampu menstabilkan politik Malaysia dalam jangka panjang.
Katanya, tidak perlulah sehingga Presiden Amanah Mohamad Sabu mengancam untuk mengadakan demonstrasi jalanan hanya mahu memastikan RUU berkenaan dibentang dan diluluskan.
"Presiden Amanah telah memberikan isyarat yang amat jelas kalau tak dibentang RUU ini maka akan turun ke jalan raya.
"Sama ada kita ada keputusan melibatkan Majlis Presiden PH dalam hal itu tetapi apa yang disebut Mohamad Sabu itu rata rata adalah yang dirasai oleh Ahli Parlimen pembangkang dan warga masyarakat sivil yang ada di luar sana," katanya lagi.
Comments