Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 pagi tadi mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pembetukan Kerajaan Perpaduan dan inisitif Malaysia Madani
Baginda bertitah mahu semua pihak berlapang dada dan dengan hati terbuka menerima serta menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Beta menghargai pengenalan inisiatif negara Madani yang merangkumi aspek-aspek kemampanan; kesejahteraan; daya cipta; hormat; keyakinan; ihsan dan rahmah.
"Besar harapan Beta agar prinsip-prinsip tersebut diterjemahkan dengan baik dalam kerangka untuk mencipta lonjakan buat negara," titah Al-Sultan Abdullah dipetik Bernama.
Agong juga mengalu-alukan usaha kerajaan membendung ketirisan dana awam termasuk inisiatif mempercepat mekanisme pemberian subsidi bersasar dalam usaha mendepani cabaran ekonomi global, ketidaktentuan ekonomi pasca Covid-19 serta tekanan inflasi yang meningkatkan kos sara hidup.
Selain itu, Sultan Abdullah menyambut baik inisiatif untuk memperkukuh agenda pembangunan ummah berasaskan prinsip Maqasid Syariah dalam pentadbiran negara yang merangkumi aspek pemerkasaan pengurusan hal ehwal Islam seperti pendidikan Islam, undang-undang Syariah, institusi kekeluargaan, pensijilan halal Malaysia dan pendidikan tahfiz al-Quran.
"Usaha ini penting bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai kekuatan kerohanian, intelektual dan sahsiah diri yang unggul," titahnya.
Dalam pada itu, Agong bertitah supaya semua pihak tidak mengulangi episod pertukaran Perdana Menteri 3 kali dalam sepenggal sebagai mana penggal sebelum ini yang menyukarkan situasi ekonomi serta sosial negara.
"Beta tak berniat untuk mencampuri urusan politik negara, apatah lagi untuk mengatur percaturan landskap politik tanah air.
"Pada pengamatan beta secara peribadi, jika episod yang membawa kepada peletakkan jawatan perdana menteri ketujuh tidak berlaku, nescaya kemelut politik yang berlarutan sehingga kepada PRU ke-15 juga akan dapat dielakkan.
"Lebih penting lagi kemelut politik yang membelenggu negara hampir empat tahun lamanya boleh dielakkan jika semua ahli yang berhormat dan ahli politik negara bersedia untuk mengetepikan perbezaan dan bersatu padu semata-mata atas dasar untuk menjaga kepentingan rakyat beta dan negara yang kita cinta ini,” titahnya.
コメント