
Ketua Pembangkang DUN Perak, Dr Aziz Bari menolak pendapat Dr Shamrahayu Ab Aziz berhubung isu hanya Perdana Menteri (PM) yang berhak menghadap Yang di-Pertuan Agong dalam situasi kerajaan Perikatan Nasional (PN) muktahir ini didakwa telah kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Menurut Dr Aziz yang merupakan pakar undang-undang Perlembagaan, kedudukan Agong di atas politik kepartian dan berperanan sebagai ‘guardian’ atau penjaga Perlembagaan, yang sewajarnya boleh menerima mana-mana pihak untuk menghadap baginda.
"Peranan sedemikian (penjaga Perlembagaan) memerlukan baginda mendapat maklumat dan perspektif yang betul dan tepat mengenai keadaan semasa.
"Kelihatannya beliau (Dr Shamrahayu) keliru dengan nasihat PM atau kerajaan dalam sesuatu isu mengenai pentadbiran negara. Itu memang dalam autoriti PM atau kerajaan yang memerintah.
"Tetapi dalam konteks itu pun ia tidak bermakna baginda tidak boleh mendengar pandangan pihak lain. Jika tidak masakan ada apa yang disebut “the right to advise, to warn and to be consulted” di pihak Raja.
"Ini semua memerlukan Raja itu mendengar dan mendapat perspektif yang pelbagai dan bukan hanya dari PM sahaja," katanya dipetik.
Dr Aziz turut beranggapan kenyataan bahawa hanya PM yang boleh menghadap Agong berbahaya dalam konteks demokrasi, bahkan Raja Berperlembagaan.
"Kesan pandangan sedemikian ialah Raja akan dilihat sebagai boneka kerajaan yang ada; sedangkan idealnya adalah raja dan istana perlu berada di atas politik kepartaian; raja perlu menjadi faktor penyatu untuk semua rakyat.
"Isu ini boleh diperdebatkan kerana beliau adalah pemegang kerusi mengenai institusi beraja dan apa yang dikatakan begitu kontroversi sekali," katanya lagi.
Kenyataan hanya PM yang berhak menghadap Agong juga turut diulas pelbagai pihak berikutan duluan (precedent) yang berlaku di beberapa buah negeri.
Dalam peristiwa rampasan kuasa di Perak pada 2009, ADUN-ADUN BN dan Bebas menghadap Sultan Perak untuk menumbangkan kerajaan Menteri Besar (MB) Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin.
Begitu juga yang berlaku pada Mei 2020 apabila ADUN PN, BN dan Bebas menghadap Sultan Kedah dan menumbangkan pentadbiran MB Datuk Seri Muhkriz Mahathir.
Dalam kedua-dua kes, MB tidak meletak jawatan terlebih dahulu sekiranya peristiwa perletakan jawatan Tun Mahathir Mohamad sebagai PM Pakatan Harapan dan kerajaan telah 'dikosongkan' mahu dijadikan perbandingan.