top of page

Adilfitri 2023 Lebih Baik, Polisi Ekonomi PMX Berkesan

Updated: Apr 26



Oleh: Redzuan Shamsudin


ULASAN: Aidilfitri 2023 secara teknikalnya akan berterusan disambut sehingga 30 Syawal oleh umat Islam Malaysia mengikut tradisi Hari Raya Puasa di Nusantara. Namun kemeriahan hari raya berkurangan secara beransur ansur selepas hari raya ketiga.


Apatah lagi cuti hari raya ‘ketiga’ telah berakhir dan kakitangan kerajaan mahu pun swasta telah kembali ke tempat kerja masing masing pada Selasa.


Perkara yang menarik untuk dinilai pada Aidilfitri tahun ini tentulah kemeriahan yang agak berbeza daripada tahun tahun sebelumnya. Berbanding tahun lalu, malah pada era pemerintahan Perdana Menteri (PM) Najib Razak yang terkenal dengan pendekatan najibnomics sekali pun.


Kemeriahan sejak Ramadan


Kemeriahan hari raya boleh diukur dengan kemeriahan bazar Ramadan tahun ini. Di kebanyakan bazar Ramadan di sub bandar dan bandar misalnya di Lembah Kelang, kuasa beli rakyat dilihat tinggi kerana juadah berbuka puasa ‘licin’ menjelang pukul 7.00 petang.


Pada tahun tahun sebelumnya, banyak penjual yang masih menunggu pelanggan selepas pukul 7.00 petang. Namun tahun ini peniaga yang jualannya lazat telah mula mengemas meja pada pukul 6.30 petang. Hal itu tentulah melambangkan banyaknya wang tunai dalam saku pembeli.


Wang yang bertambah boleh dikesan datangnya daripada penjimatan yang diperolehi rakyat daripada polisi Menu Rahmah, bantuan rahmah, intervensi harga oleh kerajaan Selangor, Negeri Sembilan dan juga jualan rahmah hari raya sejak Ramadan.


Kerajaan juga memberi bantuan tunai kepada golongan yang biasanya kurang dibantu seperti RM300 + RM200 kepada nelayan, RM200 + RM200 kepada pesawah padi dan RM800 + RM200 kepada pekebun kecil getah menjelang bulan Ramadan.


Pengumuman duit raya bagi keseluruhan kakitangan awam termasuk pasukan keselamatan juga membantu menguatkan sentimen berbelanja.


Selain itu, harga bahan mentah makanan yang terkawal turut menyumbang keyakinan rakyat kerana mereka boleh menjangkakan bajet keperluan harian ke hadapan. Mereka tidak perlu terlalu menyimpan bagi menghadapi kenaikan harga atau inflasi melampau mahu pun kekurangan wang untuk membeli barang keperluan.


Polisi melambakkan wang ke pasaran


Tidak kurang yang mengkritik polisi melambakkan wang ke pasaran oleh PMX. Terutama oleh ahli ekonomi dan tokoh wartawan order lama yang sinonim bersama polisi ekonomi bekas PM ke-4 dan 7, Tun Mahathir Mohamad. Bagi mereka melambakkan wang kepada rakyat akan mendatangkan masalah kenaikan harga barang, kurang simpanan atau kurangnya keuntungan syarikat besar yang boleh melabur semula untuk penyelidikan.


Namun teori ekonomi itu selama ini hanya menguntungkan golongan T20, tauke besar dan oligarki. Masalah yang tidak diberitahu kepada rakyat ialah golongan T20 itu sering tidak berbelanja di dalam negara. Malah cuti hari raya pun mereka keluar negara melancong dan berbelanja sakan.


Sebaliknya dengan melambakkan wang kepada rakyat marhaen, golongan dengan pendapatan kurang RM3,000 tidak mungkin bercuti keluar negara. Mereka akan berbelanja di dalam lingkungan kewangan Malaysia. Hal itu menjadikan putaran ekonomi pekedai runcit, peniaga pasar malam, penguasaha gerai bergerak lebih pantas.


Wang lebihan juga mengalir ke pemotong rumput, kedai gunting rambut, kedai membaiki motorsikal, mekanik kereta dan sebagainya. Akhirnya pusingan ekonomi negara akan menjadi lebih pantas apabila peniaga menambah stok dalam kadar segera.


Kilang yang menghasilkan barangan buatan Malaysia akan memperbanyak pengeluaran, begitu juga rakyat yang menyediakan bahan mentah.


Polisi menguntungkan rakyat terbanyak


Inilah polisi ekonomi marhaen Anwar yang gagal difahami oleh kelompok elit. Memang mereka tidak mahu faham kerana Anwar memaksa mereka membayar lebih banyak cukai buat golongan kaya dan tiada pengecualian seperti sembilan PM sebelumnya.


Bagaimanapun kesan besar adalah pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan yang lebih baik dan kesaksamaan kekayaan yang akan menjamin keharmonian sosial lebih baik. Seperti kurangnya kecurian, golongan peminta sedekah atau golongan yang perlu dibantu oleh masyarakat.


Oleh itu, Aidilfitri tahun ini memang lebih baik daripada sebelumnya.

__________________________________________________________________________________

Penulis merupakan editor Suara Keadilan

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page