
Sokongan ke atas Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM) ke 9 dikatakan diperolehi daripada lebih 122 Ahli Parlimen.
Hal itu disahkan oleh Ketua Penerangan Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Samad. Beliau menjelaskan 30 Ahli Parlimen Umno telah beralih arah dan tidak lagi menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai PM.
Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata demikian dalam sesi bual bicara bersama Jom Channel malam tadi. Dalam program itu, Khalid turut menjelaskan 'isu panas' mempersoalkan tindakan Anwar tidak membawa bukti Akuan Berkanun (SD) sewaktu mengadap Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober lalu, yang dilihat rakyat sebagai cacat dalam proses peralihan kuasa.
"Memang ada orang beranggapan Datuk Seri Anwar akan bawa SD bagi semua Ahli-ahli Parlimen yang menyokong dia. Hakikatnya kalau dia bawa SD sekali pun, Agong tetap akan melakukan perincian, betul ke tak betul.
"(Saya difahamkan dalam pertemuan) Datuk Seri Anwar bawa surat daripada ketua parti yang menyatakan bahawa parti dan Ahli Parlimennya menyokong Anwar
"Bagi Amanah surat ditandatangani Mohamad Sabu (Presiden) yang menyatakan 11 Ahli Parlimen Amanah menyokong Anwar. Daripada DAP surat ditandatangani Lim Guan Eng, yang menyebut 42 Ahli Parlimen DAP sokong Anwar.
"(Bagi KEAIDLAN) surat ditandatangani Anwar sendiri menyatakan 39 Ahli Parlimen KEADILAN menyokong Anwar.
"Dan satu surat saya difahamkan daripada Zahid Hamidi (Presiden Umno) menyatakan 30 Ahli Parlimen Umno, kalau tak silap saya, menyokong Anwar.
"Dikemukakan setakat itu sahaja. Selepas itu Yang di-Pertuan Agong seperti dinyatakan, dijadualkan untuk bertemu dengan ketua-ketua parti," katanya.
Mengulas kenyataan yang kelihatan bertentangan dikeluarkan Istana Negara mendakwa Datuk Seri Anwar tidak membawa Akuan Berkanun tetapi dalam sidang media di hotel Le Méridien, Ketua Pembangkang itu menyatakan hal sebaliknya, Khalid berpendapat terdapat salah takfsiran dalam isu tersebut.
"Sebenarnya apa yang Anwar sebut, dia tak kata beri SD semua Ahli Parlimen. SD yang diberi seperti dijelaskan dalam sidang medianya, iaitu bagi Ahli-ahli Parlimen Bebas, yang bukan mengikut parti. Memang ada Ahli Parlimen Bebas yang menyokong Anwar sebagai PM. Mereka berikan SD.
"Yang lain memang melalui presiden parti, termasuk Umno melalui Zahid Hamidi. Yang bagi saya itu agak pelik mengapa melalui Zahid. Mungkin Zahid sendiri menyokong, lalu dia memimpin Ahli Parlimen Umno yang menyokong. Itu kita tak tahu.
"Surat dari Amanah pula menyatakan sokongan tetapi tidak (disertakan) senaraikan nama Ahli Parlimen.
"Bererti bukan ada percanggahan (dengan kenyataan istana) tetapi belaku silap tafsir berhubung apa yang dijanjikan oleh Anwar sebelum ini.
"Kenapa tidak didedahkan (senarai nama)? Kita semua tahu, kiranya didedahkan maka ia akan menimbulkan masalah terhadap Ahli-ahli Parlimen yang menyokong Anwar, khususnya dari Umno. Muhyididn mungkin ambil tindakan," katanya lagi.
Sehubungan itu, Khalid menyeru PM Muhyiddin supaya bersikap lebih bermaruah dan berprinsip dengan meletakkan jawatan secara sukarela kerana telah kehilangan sokongan.
Katanya, sekiranya Muhyiddin meletak jawatan maka tugas Agong melantik PM baharu akan lebih mudah.
"Keadaan agak merumitkan bagi Yang di-Pertuan Agong, kerana pada zaman Tun (Mahathir), bila dia hilang majoriti kerana partinya tinggalkan Pakatan Harapan dia rasa tak layak jadi PM, dia letak jawatan. Itu jauh lebih berprinsip dan dia serah kepada Agong.
"Bila Tun letak jawatan Agong boleh bertindak dengan lebih mudah untuk menunaikan tanggungjawab. Tetapi bila Muhyididn tak letak jawatan maka isu ini terus dipertikaikan. Timbul perbagai spekulasi, maka Agong hadapi masalah dan perlu menilai situasi dengan lebih teliti.
"Dalam keadaan macam ini, dia (Muhyiddin) masih boleh bertai chi buat seketika tetapi akhirnya bila Agong bertemu dengan semua ketua-ketua parti maka akhirnya ianya akan terbukti.
"Langkah seterusnya, Yang di-Pertuan Agong akan memanggil Muhyiddin dan minta dia letak jawatan. Selepas itu dilakukan perlantikan PM yang baharu," katanya.
Dalam temubual itu juga Khalid memberikan pendapatnya mengenai perlunya usul Undi Tidak Percaya di Parlimen yang dianggapnya tidak perlu kerana begitu banyak duluan (precedent) pertukaran kerajaan di negeri-negeri dilakukan secara Menteri Besar meletak jawatan selepas menyedari mereka kehilangan majoriti.
Comments