Tempoh pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan jelas belum cukup untuk membawa perubahan yang cemerlang dalam memperbaiki kualiti kehidupan masyarakat India atau rakyat Malaysia keseluruhannya.
Menurut Naib Presiden KEADILAN, Saraswathy Kandasamy, tempoh itu hanya boleh digunakan untuk mengenalpasti isu isu yang membelenggu pendidikan dan ekonomi masyarakat India serta menyediakan polisi bagi memperbaikinya.
"Sebab itu 22 bulan ditadbir oleh PH ini kita temui (banyak kelemahan) dan perlu dibawa satu penyelarasan secara keseluruhan, dan kami lakukan ke arah itu.
"Saya berpengalaman mentadbir Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dan saya ingin menjelaskan bahawa 22 bulan ialah masa kita membuat rangka untuk kita memperbaiki delivery system. Semua aspek pentadbiran kerajaan yang tidak membawa perubahan untuk tempoh masa panjang.
"Bila kita bawa perubahan ia perlu holistik, bagaimana kita merangka melibatkan undang undang yang sedia ada dan perlu dipinda serta perlu dibentangkan di Parlimen dan diangkat untuk masa hadapan.
"Kita telah mengenalpasti banyak kelemahan. Kita perlu meletakkan mekanisme yang betul dan perlu mengubah polisi.
"Bagaimanapun itu adalah aset kami untuk kami mentadbir 5 tahun ke hadapan (jika menang PRU 15), iaitu apa yang kami kenal pasti dalam semua aspek," katanya pada sidang media RAPAT Reformasi Rakyat, iaitu gabungan NGO NGO pro PH yang mahu perubahan berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke 15.
Saraswathy turut menceritakan pengalaman beliau sebagai pengerusi PTPK dalam masa 12 bulan.
Katanya beliau mendapati terdapat kurusus yang diberikan, ditawarkan di bawah Kementerian Sumber Manusia tetapi kursus itu tidak diiktiraf oleh agensi lain di bawah kerajaan.
"Contoh sekiranya seseorang ditawarkan kursus penyelenggaraan kapal terbang, ia tidak diiktiraf oleh Civil Aviation Department. Sebab setiap daripada kementerian ini beroperasi secara berasingan dan tidak ada satu polisi berkenaan dengan kemajuan kemahiran.
"Walau banyak dikatakan mengenai pembangunan remaja, pembelajaran kemahiran tetapi tiada satu usaha untuk menyelaraskan semua program ini
"Seorang yang mempelajari pendawaian, sijil SKM tidak diiktiraf oleh Suruhanjaya Tenaga iaitu sebuah agensi kerajaan," katanya yang mengharapkan PH diberi peluang sekali lagi oleh rakyat untuk memerintah dan memperbaiki aspek perlatihan yang bukan sahaja memanfaatkan masyarakat India tetapi juga semua rakyat Malaysia.
Beliau juga membuat kesimpulan, kerana pengurusan yang tidak cekap maka sejak berdekad dekad lalu peruntukan disediakan amat banyak namun pencapaian tidak seberapa.
"Mengapa? Kerana banyak bajet diperuntukan kepada pengurusan, banyak pertindanan dan kelamahan. Jika ini dilenyapkan maka dana akan digunakan sebaik mungkin.
"Sebagai Naib Presiden KEADILAN, kami mempunyai keyakinan di bawah Datuk Seri Anwar keadaan akan lebih baik kerana beliau mempunyai rekod pentadbiran pada masa dia menjadi seorang Menteri Kewangan.
"Dia juga sedar banyak perkara termasuk isu India, kemiskinan, pendidikan dan dia ada wawasan untuk membawa perubahan yang memberi impak yang cukup baik," katanya lagi.
コメント