
Jumlah 11,000 calon yang menawarkan diri bertanding dalam Pemilihan KEADILAN 2022 menunjukkan parti reformasi itu tidak mengalami patah semangat biarpun kalah dalam beberapa siri pilihan raya negeri.
Bagi aktivis KEADILAN Johor, Khairil Adanan (gambar atas, kiri), jumlah 'hebat' itu juga menunjukkan parti mempunyai banyak bakat pemimpin baharu dan lama di semua peringkat dan mampu menabur bakti kepada masyarakat.
"11,000 anggota meraikan pesta pemilihan KEADILAN 2022. Pada saya ini satu tanda bahawa KEADILAN tidak tandus pimpinan malah sekarang lebih segar.
"Kita bukan kerajaan pusat, ada dua negeri dan dalam keadaan kalah PRN berturut turut. Sekarang apabila 11,000 tawar khidmat kita rasa ia sesuatu yang hebat kerana jawatan ini datang dengan tanggungjawab. Bermakna 11,000 mahu bangunkan parti .
"Kalau kita tengok rekod pemilihan 2018, waktu ada kerajaan pun tidak sebanyak ini menawarkan diri. Calon naib presiden 10 orang sahaja tetapi sekarang 17 calon. Kalau kita belajar fizik, bila ada momentum menang susah mahu berhenti.
"Apabila 11,000 tawar bertanding maknanya parti ini dapat sambutan dan ada momentum. Dengan momentum ini kita akan pergi jauh," katanya dalam forum maya "Jangan Panas Bersama Sam" yang dimoderatorkan oleh Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, malam tadi.

Selain itu, Khairil juga berbangga dengan jumlah pendaftaran pengundi di aplikasi ADIL yang mencatat hampir 97,000 pendaftaran.
Katanya, jumlah yang tinggi untuk membuang undi itu membuktikan ahli teruja untuk melaksaankan proses demokrasi dalam memilih kepimpinan.
"Pendaftaran ini juga satu permulaan di mana kita ada database pengundi aktif. Mereka yang berusaha menang jawatan akan memastikan anggota ini ada dalam radar untuk dihubungi, sampaikan aktiviti kepada anggota sebelum pergi ke masyarakat.
"Ini akan beri cabaran bagaimana nak mengurus parti dengan lebih efisien.
"KEADILAN ini bagusnya banyak idea baru, dan tidak takut mencuba. Inilah parti yang perlu mendapat tempat bagi orang muda," katanya.
Ditanya apakah perlu anggota yang bertanding menggunakan sistem cai sedangkan pada peringkat lain KEADILAN dilihat begitu inovatif dalam memperkenalkan konsep 'mengundi tanpa halangan', Khairil berkata, konsep cai tidak wajar diteruskan pada pemilihan kali ini.
"Pada saya sistem cai perlu dihapuskan untuk kita beri kebebasan kepada anggota. Pemilihan perlu dipulangkan kepada anggota. Mereka nak pimpinan macam mana pimpin parti.
"Kalau guna sistem cai mungkin akan memenangkan individu tanpa ada rasa tanggungjawab. Dia seronok terbuai dengan jawatan tetapi akhirnya adakah dia boleh deliver dengan jawatan itu?
"Kemudian akan membentuk kabilah. Selepas pemilihan patutnya kita berkumpul bersama sama tetapi disebabkan kabilah cai ini dia tiada penamat. Akan terus sampai ke pemilihan yang lagi satu," katanya.
Namun, Khairil berpendapat pemilihan kali ini, sama ada menggunakan sistem cai atau tidak tidak mungkin akan mengakibatkan perpecahan kerana calon yang bertanding seperti Rafizi Ramli dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail merupakan sahabat lama.
Katanya, calon yang bertanding mestilah matang dan melihat ke depan kerana selepas pemilihan akan ada Pilihan Raya Umum ke 15. Perpecahan akan menyebabkan KEADILAN sukar untuk menang PRU.
Commentaires