May 14, 20221 min

'Yang muda kita hormati, yang tua kita sanjungi' - Andre Lai

"Yang muda kita hormati, yang tua kita sanjungi" Begitulah seruan dan kata-kata hikmah daripada calon Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju, Andre Lai dalam ucapannya sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri KEADILAN Wangsa Maju di The Palette, baru baru ini.

Menurut beliau, generasi muda KEADILAN ketika ini banyak yang berketerampilan, bertenaga dan mempunyai idea baru.

Namun begitu, katanya generasi awal tidaklah patut dilupakan begitu saja, kerana mereka mampu menjadi penunjuk arah dan penyuluh bagi membuka jalan kepada pemimpin-pemimpin muda parti.

"Pasukan saya mempunyai komposisi Melayu, Cina, India, Sikh dan pelbagai lagi. Ini merupakan tunjang utama sesuatu masyarakat, semangat muhibah yang kami bawa dapat menutup jurang-jurang antara kaum dan seterusnya meningkatkan lagi perpaduan dan kerjasama di Wangsa Maju," kata Andre.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew pula menegaskan cabang berkenaan perlu berusaha keras untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti pada Pilihan Raya Umum kali ini agar parti mampu sekali lagi berkuasa di Putrajaya.

"Untuk meraih semula kekuatan dan keyakinan rakyat kepada kita, kita harus menilai diri jika kita ingin bangkit semula.

"Dalam Pemilihan kali ini, kita akan memutuskan siapakah perintis generasi kedua untuk membantu presiden dalam meremajakan parti dan membawa parti kembali ke landasan yang betul," katanya.

Kira-kira 400 ahli KEADILAN hadir dalam majlis yang turut dihadiri oleh calon Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli. Pemilihan parti akan berlangsung secara fizikal pada 15 Mei ini dan pemilihan atas talian pula berlangsung pada 18 Mei nanti.

    0