Mar 301 min

Wanita perlu terus buat kebajikan, bantu golongan memerlukan

Oleh: Noraini Nordin

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan wanita Malaysia supaya terus membuat kebajikan serta sentiasa perhatin terhadap golongan yang memerlukan.

Katanya, selain meneruskan kerja kerja kebajikan, wanita Malaysia mesti mengamalkan sikap toleransi dalam hidup bermasyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Kita mesti sentiasa memperbaiki diri. Membuat kebaikan tanpa mengira kaum.

"Keimanan kita sentiasa diuji. Ada waktunya kita juga boleh lalai. Oleh itu mari kita bersama-sama memperbaiki diri supaya Ramadan kali ini menjadi Ramadan yang terbaik," ujarnya sewaktu berucap pada Majlis Khatam Al Quran dan Iftar Kasih Malaysia 2024 di Seri Perdana, petang semalam.

Dalam masa yang sama Dr Wan Azizah juga mengingatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa mendoakan rakyat Palestin supaya mendapat pembelaan yang sewajarnya dengan segera.

"Bantulah saudara kita di Palestin mengikut kemampuan masing-masing sama ada dari segi wang ringgit, titipan doa atau sebagainya, " katanya yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (Kasih Malaysia)

Pada majlis tersebut Dr Wan Azizah menyampaikan sumbangan kepada 50 individu yang terdiri daripada asnaf, ibu tunggal dari Parlimen Sepang, Hulu Langat, Shah Alam, Hulu Selangor dan Kota Raja.

Program tersebut telah dihadiri 200 tetamu antaranya termasuklah Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) Datin Seri Masdiana Muhamad dan Pengerusi Pertubuhan Keluarga Polis Diraja Malaysia (PERKEP) Puan Sri Zainah Othman.

    1