Mar 26, 20231 min

Virus Marburg : KKM ketat pemantauan di pintu masuk negara

Kementerian Kesihatan akan melaksana langkah pengawasan dan pemantauan ketat bagi mengelak risiko penularan virus Marburg di negara ini.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan setakat ini tiada virus dari Afrika itu dikesan di Malaysia, namun pemantauan di pintu masuk antarabangsa khususnya pelancong dari Afrika dan rakyat Malaysia yang baharu pulang dari benua itu akan terus dilaksana.

"Apabila ada berita mengenai virus seperti ini kita akan buat pemantauan khususnya kepada mereka yang datang dari Afrika, tapi setakat ini belum ada apa-apa kes berkaitan virus tersebut.

"Pemantauan akan dibuat dari semasa ke semasa," jelasnya.

Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang ditemui pemberita selepas mengadakan Tinjuan Mesra Bazar Ramadan Peringkat Negeri Johor pada Sabtu.

Kementerian Kesihatan Malawi baru-baru ini mengeluarkan amaran mengenai virus Marburg yang telah meragut lima nyawa di wilayah barat laut Kagera, Tanzania.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia( WHO) virus itu boleh menyebabkan kematian sehingga 88 peratus dan setakat ini tiada vaksin atau rawatan anti virus yang diluluskan untuk merawatnya.

Sementara itu Zaliha menasihatkan rakyat Malaysia yang baru pulang dari Afrika untuk membuat pemeriksaan di hospital dan klinik berhampiran sekiranya menunjukkan gejala kesihatan yang merosot.

    3