May 20, 20221 min

Utamakan peranan anak muda hadapi kemelut sosial, ekonomi - Mustaffa Kamil

Peranan anak muda harus diutamakan dalam menghadapi kemelut politik, ekonomi dan sosial ketika ini

Menurut calon Naib Presiden KEADILAN, Mustaffa Kamil Ayub, pada setiap zaman pemuda akan menghadapi cabaran yang berbeza.

Namun di negara ini, katanya anak muda tidak dirundingi dalam mewujudkan polisi untuk memperbaiki kehidupan mereka.

"Kita memerlukan anak muda yang mempunyai kekuatan dan dinamisme dalam menghadapi segala cabaran.

"Kita kena bersama membina masa hadapan anak muda. Peluang pekerjaan dan keusahawanan, serta aktiviti sukan untuk mereka perlu disemarakkan.

"Begitu juga asas keagamaan dan aktivisme anak muda mesti dimantapkan," kata Mustaffa dalam satu siaran media.

Tegas Koordinator Gabungan Reformis Malaysia itu lagi, sahsiah pemuda dan ketahanan jiwa mereka mestilah dibina sejak di bangku sekolah. Begitu juga aktiviti sukan dan kecergasan minda yang perlu diberi perhatian serius oleh pemerintah.

Selain itu, kerajaan juga harus mewujudkan lebih banyak peluang latihan serta latihan semula kepada golongan muda dalam bidang kerjaya

"Saya sendiri pemuda sebelum ini, dan pernah berperanan sebagai kapten bola tampar sekolah, juga pasukan ragbi sekolah. Termasuk saya menjayakan sukan Komawel pada 1998 lalu di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

"Pengalaman sebagai pimpinan pelajar, belia dan seumpamanya membuat saya bersedia membimbing anak muda dalam ruang yang ada

"Saya juga pernah berperanan dalam kumpulan Peransang Selangor menggerakkan ribuan anak muda melalui latihan keusahawanan dan diberi modal untuk perniagaan

"Sekarang ini saya gerakan Koperasi Masyarakat Madani (K3M), sedikitnya membantu anak muda dalam program trading ekonomi, penternakan dan sebagainya," kata Mustaffa.

Sebagai reformis, tambah beliau, anak muda perlu diberi tanggungjawab lebih penting untuk membina semula Malaysia.

"Saya mampu bersama anak muda menggerakkan perjuangan ini bagi membina negara kita bersama," katanya lagi

    0