Nov 20, 20211 min

Undi PH, BN perintah sejak merdeka, kempimpinan tidak bersih

Pengundi Melaka diseru bersatu padu memilih Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan pada hari pengundian untuk memastikan kemakmuran negeri Melaka.

Hal itu diungkapkan oleh calon DUN Paya Rumput, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam ceramah grand finale, malam tadi.

Katanya, ada tiga gabungan utama yang bertanding tetapi PH memberi pilihan lebih baik dari segi kestabilan dan kemajuan negeri.

"Pilihan raya penting kerana ada kumpulan yang panggil Gagasan Bebas tetapi kita dihidangkan dengan 3 kumpulan utama. Iaitu adakah saudara saudari akan bersama PH atau memilih untuk memberi peluang sekali lagi kepada BN atau PN? Ini perkara paling mustahak yang harus kita sama sama muktamadkan esok.

"Rakyat telah beri peluang kepada BN sejak merdeka mentadbir Melaka. PRU 14 kita telah sama sama menolak BN dan angkat PH sebagai kerajaan. Kita boleh senaraikan apa yang berjaya kita lakukan dan apa yang tertangguh.

"Pada malam ini saya ingin berterus terang dengan rakyat, lepas BN kembali memimpin negeri ini apakah ada kejayaan mereka atau perangai lama berulang kembali?" tanyanya.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu merayu agar rakyat tidak mensia-siakan undi dengan memilih parti yang tidak bersih dan suka bertelagah.

Atau mencuba PN yang tidak terbukti rekod pentadbirannya.

"Esok jangan kita sia-siakan undi dengan pendekatan try and error. Cukup kita beri peluang dan ruang kepada BN. Jangan pula kita cuba beri peluang kepada PN kerana di peringkat Persekutuan bergabung jadi kerajaan, di peringkat negeri bertelagah sampai ke bawah.

"BN ada calon Ketua Menteri, PH pun ada. Kalau beri peluang kepada mereka, siapakah calon yang mereka akan angkat?

"Kita mahukan kerajaan yang bersih dan kompetan. Kita sudah muak dan meluat dengan pemimpin yang mengkayakan diri dan sanak saudara mereka. Inilah yang mereka lakukan selama 18 bulan menjadi kerajaan," katanya lagi.

    1