Jul 8, 20201 min

Undi Lantik Speaker Rahsia, PH Boleh Kekalkan Ariff

Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah menegaskan usul pemberhentikan Speaker Tan Sri Mohamad Ariff Yusuf dari perdana menteri Muhyiddin Yassin mestilah dilakukan secara mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Berdasarkan peraturan, pengguguran Speaker dilakukan melalui undian secara lisan oleh setiap Ahli Parlimen atau anggota Dewan kepada Bentara Dewan dan pilihan mereka (gugur atau tidak) akan ditulis untuk dikira.

Pada peringkat ini Speaker yang dilantik pada era Pakatan Harapan (PH) akan tersingkir kerana undi tidak rahsia dan anggota Dewan Perikatan Nasional (PN) tidak akan mengekalkan Ariff. Sebaliknya, peraturan untuk melantik Speaker baharu pula adalah dengan anggota Dewan menulis nama yang digemari pada sekeping kertas, dilipat dan diserahkan kepada Setiausaha Parlimen.

Undi ini rahsia dan memberi peluang anggota Dewan mengundi pilihan mereka sendiri dan PH mungkin mempunyai peluang mengekalkan Ariff sebagai Speaker.

Namun, kata Sivarasa yang juga Ahli Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Parlimen, pemimpin PH perlu memulakan perbincangan untuk menentukan strategi di Dewan bagi pengundian usul tersebut.

Perkara paling penting, pemimpin PH perlu memastikan mereka mencadangkan nama Ariff sebagai Speaker baharu dan Nga Kor Ming Timbalan Speaker.

    0