Apr 191 min

Timb. Menteri Agama umum keputusan UPKK, santuni 180 pelajar SRI

Oleh: Abdullah Zaid

Kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan bagi mengumumkan keputusan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2023 di Sekolah Rendah Islam (SRI) Seremban memberi keriangan kepada murid di sekolah berkenaan.

Keputusan yang diumumkan semalam itu melibatkan 180 pelajar SRI terdiri 153 calon pelajar Sekolah SRI Seremban, dan 27 pelajar Sekolah SRI Seremban cawangan Nilai yang menduduki peperiksaan UPKK 2023.

"Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak dalam persediaan terbaik bagi menghadapi peperiksaan," katanya dalam satu kenyataan.

Dr Zulkifli Hasan meraikan pelajar mengambil keputusan peperiksaan

Jelas kenyataan itu, Dr Zulkifli juga menzahirkan penghargaan kepada guru-guru, lembaga pengelola, pengurusan, staf dan seluruh warga sekolah yang mendidik anak-anak dengan baik.

Dalam pada itu, mantan Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tersebut turut mengambil keputusan UPKK anaknya di Sekolah Sri Seremban selain meluangkan masa meraikan semua anak-anak darjah 6 yang menunggu keputusan UPKK.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, seramai 28,531 daripada 230,587 calon menduduki UPKK 2023 berjaya mencatatkan keputusan cemerlang dengan memperolehi A dalam kesemua lapan mata pelajaran peperiksaan itu.

Mata pelajaran berkenaan ialah al-Quran, Ulum Syariah, Sirah, Adab, Jawi dan Khat, Lughatul Quran, Penghayatan Cara Hidup Islam serta Amali Solat.

    1