Dec 16, 20232 min

Tetapkan PM hanya untuk Melayu tidak berfikiran kebangsaan - Roland

Pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang menyarankan dilakukan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan calon Perdana Menteri (PM) hanya terdiri dari kalangan kaum Melayu adalah tidak berfikiran terbuka.

Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak, Roland Engan, pemimpin PN seharusnya memikirkan negara Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum, terutama seperti di Sarawak yang mana Bumiputera bukan sahaja terdiri daripada kaum Melayu Islam.

Katanya, agenda jawatan PM dihadkan kepada orang Melayu hanyalah untuk meraih sokongan semata mata dan tidak berfikir secara kebangsaan.

"Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa satu-satunya keperluan Perlembagaan dan demokrasi bagi seorang PM untuk dilantik sebagai PM ialah dia mesti ahli Parlimen yang pada pandangan Yang di-Pertuan Agong mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat.

"Jadi, PM dan Kerajaan sekarang tidak seharusnya dicabar untuk meminda Perlembagaan secara tidak perlu semata-mata untuk memuaskan hati populis tertentu untuk agenda politik," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Roland lagi, perkara yang paling penting, kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri seharusnya bijak, cekap dan cukup adil dalam melaksanakan tugasnya untuk melindungi Perlembagaan, hak semua pihak dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan hak semua rakyat untuk menikmati hasil kemandirian di seluruh negara.

Selain itu, katanya, semangat patriotisme dalam kalangan semua rakyat Malaysia sama ada di dalam atau luar negara juga seharusnya dipupuk.

"Kita semua rakyat Malaysia yang mempunyai sikap perkongsian harus menggerakkan kata pengantar dalam semangat kebersamaan di mana tiada sesiapa yang terpinggir dan ketinggalan.

"Dengan mencadangkan jawatan PM adalah semata-mata untuk orang Melayu kerana kedudukan istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan, ini akan menimbulkan keresahan yang tidak perlu di kalangan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang mempunyai keistimewaan yang sama dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Dalam premis itu, KEADILAN Sarawak menggesa semua agar mengutamakan pemupukan semangat cemerlang, patriotisme dan saling menyayangi bagi membawa Malaysia bersama ke tahap yang lebih tinggi," katanya lagi.

Semalam, Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencabar PM yang mempunyai majoriti 2/3 di Parlimen untuk meminda Perlembagaan dan meletakkan syarat PM hendaklah terdiri daripada kalangan kaum Melayu sahaja.

Cadangan itu menimbulkan kecaman daripada kalangan rakyat Malaysia pelbagai kaum.

    1