May 12, 20201 min

Tanpa liputan media bebas, demokrasi Malaysia akan hancur

Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ) mengecam tindakan kerajaan Perikatan Nasional yang melarang media bebas daripada membuat sebarang liputan sidang Parlimen pada 18 Mei ini.

Malah, badan antarabangsa itu menyifatkan liputan sidang yang hanya akan dilaporkan oleh agensi media kerajaan iaitu RTM dan Bernama dilihat sengaja menghalang kebebasan media.

"IFJ menggesa kerajaan supaya membenarkan media untuk membuat liputan di Parlimen.

"Kerajaan menggunakan alasan COVID-19 bagi menghalang liputan. Tetapi apabila wujudnya maklumat yang berbeza antara media kerajaan dan media bukan kerajaan, pemimpin akan terlepas daripada kritikan rakyat dan demokrasi akan hancur.

"Seharusnya kerajaan bekerjasama dengan semua organisasi media bagi memberikan liputan yang terbaik sekali gus membenarkan wartawan akses di sidang Parlimen," katanya dalam kenyataan.

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) turut mengkritik tindakan kerajaan menggunakan alasan COVID-19 untuk menghalang kebebasan media.

"Garis panduan pencegahan COVID-19 boleh diperkenalkan tanpa perlu menghalang akses media.

"NUJM memahami dan menghargai usaha kerajaan untuk memastikan keselamatan media ketika wabak COVID-19 tetapi ia boleh dibuat di mana media tetap dibenarkan membuat liputan dan pada masa yang sama mematuhi garis panduan yang ditetapkan," katanya.

    0