Jul 16, 20201 min

Syed Ibrahim kemuka usul bahas isu Israel rampas tanah Palestin, Jordan

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh mengemukakan usul untuk berbahas mengenai rancangan aneksasi Israel ke atas tebing barat Palestin, Baitulmaqdis dan Lembah Jordan.

Dalam sesi sidang Dewan Rakyat hari ini, beliau meminta speaker supaya majlis mesyuarat dewan ditangguh kerana berpandangan bahawa usul tersebut perlu disegerakan.

"Pada 14 Julai, saya telah mengemukakan usul mencadangkan supaya mesyuarat ditangguhkan bagi membahaskan berkenaan tindakan kerajaan Israel melakukan aneksasi ke atas Tebing Barat, Lembah Jordan dan wilayah Palestin yang melanggar undang-undang.

"Rancangan perampasan tanah Palestin dan sebahagian Jordan itu merupakan pelan imperialisme Israel bersama dengan Amerika Syarikat (AS).

"Perkara itu dibuat bertujuan menghalalkan tindakan mentadbir penempatan haram di sebahagian Baitulmaqdis. Usul ini hendaklah disegerakan kerana pelan itu sudah dimulakan sejak 1 Julai," katanya.

Justeru, Syed Ibrahim berharap kesemua ahli parlimen, baik dari kerajaan mahupun pembangkang menunjukkan sokongan kepada Palestin dan mengecam tindakan Israel.

"Ia satu bentuk keganasan dan ketidakadilan terhadap penduduk Palestin dan pelan tersebut hanya akan menambah buruk kehidupan, sekaligus Israel wajib dikecam.

"Kita sentiasa berpendirian bahawa kemanusiaan dan keadilan harus ditegakkan dan kesemua ahli parlimen Malaysia amnya perlu terus bersuara bersama untuk mengecam Israel dan AS.

"Rencana jahat mereka perlu dihentikan kerana mereka bertindak secara unilateral, tanpa menghiraukan undang-undang antarabangsa.

"Saya berharap ahli parlimen daripada kedua-dua belah pihak dapat membincangkan dan berbahas, dan menunjukkan dokongan kepada usul ini," katanya.

Speaker Azhar Azizan Harun membenarkan usul tersebut dibahaskan di Kamar Khas Parlimen hari ini, dengan memberikan tempoh selama 30 minit kepada ahli parlimen kerajaan dan 30 minit kepada pembangkang.

    0