Feb 4, 20231 min

Syarikat P-hailing janji selesai isu bayaran 'rider' - AMK

Sebuah syarikat perkhidmatan penghantar makanan (P-hailing) berjanji akan meneliti memorandum bantahan dikemuka pekerja dalam sektor itu.

Perkara itu dinyatakan Pengarah Strategi Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Bryan Ng Yih Miin (gambar) dalam satu sidang media selepas bersama empat wakil penghantar makanan bermotosikal mengadakan perbincangan selama satu jam bersama Pengarah Operasi Foodpanda, Kelvin Chan di Ibu Pejabat syarikat itu di Southgate Commercial Centre pada Jumaat.

"(Syarikat) beri jaminan pihaknya akan meneliti segala isu yang dibangkitkan dalam mesyuarat itu dan kami akan berhubung setiap minggu.

"Mereka juga mahu kita memberikan maklum balas agar dapat mengetahui apa yang berlaku dan mereka boleh menambahbaik khidmat mereka, itu jaminan syarikat," katanya.

Sekumpulan rider yang menghantar petisyen tidak berpuas hati bayaran perkhidmatan mereka

Menurut Bryan, antara isu yang dibincangkan adalah isu kawasan penghantaran yang diperluaskan di kawasan Petaling Jaya, Kota Damansara dan Ara Damansara yang mengakibatkan ramai penghantar makanan tidak berpuas hati kerana upah tidak setimpal.

"Pendapat mereka ialah pembesaran dan pelebaran sempadan ini telah menyebabkan upah mereka tidak ‘proportionate’ (berkadar) pada jarak yang ada tersebut.

"Jarak lebih jauh tetapi kadar tersebut nampaknya kurang, mereka tidak berpuas hati dengan perkara tersebut dan juga beberapa perkara yang telah pun kami sampaikan dalam mesyuarat bersama dengan Kelvin Chan yang telah kita bincangkan tadi.

"Pihak mereka turut berterima kasih kerana terlepas pandang akan kesulitan yang dihadapi ekoran kesan pelaksanaan jarak pengambilan barang tempahan pelanggan yang jauh dan kadar upah tidak setimpal," katanya.

Terdahulu kira-kira lebih 50 peghantar makanan hadir menyatakan ketidakpuasan hati mereka melalui memorandum yang diserahkan itu.

Sementara itu, Bryan mewakili kumpulan itu menyampaikan ucapan penghargaan atas kesudian syarikat menerima petisyen yang disampaikan dan sudi mengadakan perbincangan bersama-sama mereka.

    1