Jan 181 min

SPRM panggil anak bekas PM ambil keterangan

Anak kepada seorang bekas Perdana Menteri dilapor hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu.

Berdasarkan laporan media, individu tersebut dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung pembabitannya dalam aktiviti perniagaan sekitar 1990-an.

Akhbar The Star yang memetik sumber yang mengetahui mengenai siasatan tersebut berkata, anak bekas pemimpin negara itu sudah dipanggil ke ibu pejabat SPRM beberapa minggu lalu untuk merekodkan kenyataannya berhubung dakwaan rasuah dan penyelewengan.

Siasatan jelasnya dibuat berikutan dakwaan individu itu melalui syarikat miliknya telah membeli anak syarikat milik entiti perniagaan berkaitan kerajaan melalui dasar penswastaan ketika itu, sebelum kemudian menjual syarikat tersebut kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam tempoh singkat dipercayai bagi memperoleh keuntungan berjumlah ratusan juta ringgit melalui urus niaga tersebut.

"Hari ini (Rabu), penyiasat telah memanggilnya sekali lagi untuk menyerahkan notis, memerlukan dia mengisytiharkan semua asetnya, sama ada di luar negara atau di dalam negara, secara bertulis," kata sumber yang tidak dinamakan itu.

Sumber tersebut turut mendakwa, lelaki itu tersenarai dalam dokumen Offshore Leaks yang mendedahkan butiran 130,000 akaun luar pesisir yang dikeluarkan pada April 2013.

Namun tidak dapat dipastikan sama ada kes SPRM itu berkaitan atau tidak dengan pendedahan berkenaan.

    1