Jun 20, 20211 min

Semua ahli perlu main peranan, usah bebankan Anwar seorang

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Akmal Nasir menyeru semua ahli supaya bangkit dan berganding bahu dalam memastikan KEADILAN menjadi pilihan utama rakyat.

Beliau berkata, perkara itu penting kerana ia akan membentuk hala tuju parti sama ada akan menjadi parti yang memerintah atau parti pembangkang.

"Kita perlu menjawab banyak perkara utama, mengapa rakyat harus memilih KEADILAN untuk membawa harapan mereka.

"Ini bukan hanya berlegar soal bila Anwar akan jadi Perdana Menteri, atau bila saudara Rafizi Ramli akan buat comeback.

"Walaupun ternyata ini yang kita harapkan dan menjadi pertanyaan serius rakyat, namun ia jauh melangkaui semua isu.

"Ia soal kesediaan kita mengembalikan kerangka besar negara melalui reformasi institusi dengan menegakkan keadilan, tatakelola yang baik dan banyak aspek lagi," katanya dalam ucapan penggulungan Kongres Nasional Ke-15.

Justeru, katanya, Anwar tidak seharusnya menjadi satu-satunya individu yang memperjuangkan prinsip parti.

"Ini bukan lagi tentang peranan yang hanya dibebankan kepada Anwar, ini perlu dirangkul kita semua yang faham tentang prinsip perjuangan yang hanya boleh dicapai melalui usaha sungguh-sungguh, memperjuangkan reformasi, tidak diulit dengan kemewahan, iltizam, semangat keikhlasan dan kerja kuat.

"Inilah adunan yang akan menterjemahkan KEADILAN sebagai pilihan rakyat Malaysia," katanya.

    0