May 27, 20231 min

Selangor sedia peruntukan kukuh perpaduan di kalangan rakyat

Dalam usaha memupuk semangat perpaduan di kalangan rakyat Selangor, Kerajaan Negeri memperuntukan RM5.454 juta sebagai geran untuk 909 kawasan Rukun Tetangga.

Exco Perpaduan, Dr Siti Mariah Mahmud berkata geran tersebut bagi tujuan pengurusan dan aktiviti bertemakan perpaduan dalam kalangan komuniti di kawasan Rukun Tetangga berdasarkan gerak kerja yang telah dilaksana mereka sebelum ini.

Difahamkan setiap kawasan Rukun Tetangga yang aktif menerima peruntukan sekitar RM6,000 setahun.

"KRT di Selangor sangat baik dari segi gerak kerja mereka dan juga kerjasama dengan ADUN banyak program yang dianjurkan dan kita bersama dengan mereka.

"Setiap program berkaitan perpaduan perlu dijalankan secara berterusan dan konsisten bagi membumikan perasaan rakyat untuk hidup harmoni," kata ADUN Sri Serdang itu.

Beliau sebelumnya ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan peringkat negeri Selangor 2023 di Taman Tasik Shah Alam.

Sempena sambutan bertemakan 'Perpaduan dalam Kepelbagaian' itu seramai 5,000 pengunjung menyertai pelbagai program seperti larian perpaduan, piknik perpaduan, persembahan kebudayaan, pameran agensi kerajaan dan jualan produk.

Sambutan sama akan diteruskan di Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi esok.

Sementara itu Dr Mariah juga berkata, seramai 56 individu di negeri itu bakal dilantik sebagai Duta Perpaduan Selangor bagi memupuk semangat muhibah dan kesefahaman di peringkat akar umbi.

Pemilihan tersebut jelasnya akan diuruskan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdasarkan merit dan kelayakan peserta.

"Duta itu akan diberi tanggungjawab untuk membantu melaksana pelbagai gerak kerja dan bekerjasama dengan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) untuk menyemarak semangat perpaduan," katanya.

    2