Mar 8, 20221 min

Selangor laksana program XTIV 2022 perkasa golongan muda

Kerajaan Negeri melaksanakan program XTIV 2022 untuk mendekati anak anak muda dengan aktiviti yang boleh memperkasa minda dan mengisi masa lapang mereka.

Menurut Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman, program XTIV dapat merapatkan hubungan golongan belia di Selangor yang terdiri daripada pelbagai latar belakang keluarga, akademik, bakat dan perusahaan.

"Program Jelajah Selangor XTIV 2022 turut memberi fokus kepada aktiviti pembangunan belia melalui sukan permotoran di dalam kategori motorsikal.

"Kerajaan Negeri amat berbangga melihat kesungguhan belia di Selangor mengasah bakat mereka serta mengambil inisiatif-inisiatif khas untuk menggerakkan pelbagai aktiviti sukan permotoran motorsikal secara serius.

"Hal ini dapat dilihat melalui keunikan pameran motorsikal yang dipamerkan di samping aktiviti-aktiviti sukan yang lain.

"Program Jelajah Selangor XTIV 2022 kali ini juga telah menarik penyertaan daripada Y15zr Club Malaysia serta beberapa lagi kelab-kelab motorsikal yang lain yang dilihat sebagai tanda sokongan golongan belia kepada pendekatan Kerajaan Negeri," katanya sewaktu merasmikan program XTIV 2022 di Morib, kelmarin.

Menurut beliau lagi, melalui semangat #SELANGORBANGKIT, Kerajaan Negeri komited untuk menyemarakkan kembali pelbagai program pembangunan belia di Selangor terutamanya ketika pasca Pandemik Covid-19.

Khairuddin mengharapkan dengan penganjuran program seperti tersebut dapat menyuburkan lagi minat golongan belia untuk turut serta di dalam program-program seterusnya.

    0