Jan 15, 20221 min

Remaja dimandi 'jenazah': Umat Islam jangan ambil pendekatan agreasif - Zawawi

Tindakan memandikan seorang remaja lelaki yang mencuri tabung masjid seolah olah jenazah, tidak boleh diterima.

Exco Hal Ehwal Agama, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Mughni berkata, tindakan yang seharusnya diambil adalah menyerahkan pelaku jenayah kepada pihak berkuasa dan jangan membuat hal hal yang boleh menyebabkan agama Islam dipandang serong.

"Saya minta umat Islam Selangor bertenang dan tidak mengambil pendekatan agreasif dalam menangani apa apa kes yang melibatkan institusi Islam.

"Biarlah pihak berkuasa melaksanakan tugas mereka mengikut lunas undang undang, sementara masyarakat membantu pihak berkuasa melaksanakan tugas mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Zawawi turut menegur perbuatan menularkan video remaja berkenaan yang bertentangan dengan nilai Islam, apatah lagi berkongsi video mengaibkan tersebut.

Sehubungan itu beliau meminta agar penyebaran video itu dihentikan.

Manakala, tegas Zawawi, imam masjid yang bertindak memandikan remaja tersebut telah meletak jawatan dan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan meneliti tindakan lanjut yang akan diambil.

"Tindakan sewajarnya telah diambil oleh JAIS selaku agensi yang bertanggungjawab menguruskan institusi masjid di Selangor sebaik sahaja mendapat maklumat betul tentang perkara itu

"Saya difahamkan imam berkenaan telah mengambil tindakan meletak jawatan dan pihak JAIS sedang meneliti perkara ini untuk tindakan lanjut

"Dalam menjalankan aktiviti dakwah Islam di Selangor khasnya, terapkanlah jiwa da'e dan penyayang kepada mad'u atau sasaran dakwah," katanya lagi.

    0