Jun 22, 20202 min

Punca KEADILAN tolak Tun M: Pendirian lepas jawatan berubah-ubah

Penolakan ke atas pilihan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri (PM) dan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk menubuhkan kerajaan Pakatan Harapan Plus terjadi kerana pendirian Pengerusi Bersatu itu yang berubah-ubah.

Hal itu didedahkan oleh Anwar dalam sesi siaran langsung Facebook beliau malam tadi.

Menurut Anwar, dalam rundingan dua minggu lalu, Tun Mahathir mencadangkan beliau dilantik semula sebagai PM untuk selama 6 bulan sebelum menyerahkan kuasa kepada penggantinya. Bagaimanapun Tun menukar pendirian dalam rundingan berikutnya kepada tempoh yang lebih lama, seolah-olah mahu mengulangi kegagalannya menyerahkan kuasa ketika memegang jawatan PM Pakatan Harapan (PH) lalu.

"Mula-mula 6 bulan, mesyuarat berikutnya (mahu) setahun dan ditekan oleh Shafie Apdal (Presiden Warisan), dia setuju 6 bulan. Dia tidak mahu tolak ansur dalam hal itu," kata Anwar.

Sebelum itu, Anwar mengingatkan rakyat mengenai beberapa peristiwa Tun cuba melewat-lewatkan penyerahan kuasa yang sewajarnya berlaku pada Mei 2020. Biarpun terdapat perjanjian bertulis yang ditandatangani oleh pemimpin PH pada 7 Januari 2018, bahawa kuasa perlu berpindah tangan selewat-lewatnya dalam 2 tahun.

"Perjanjian jelas setahun tetapi Tun Mahathir minta dua tahun. Kemudian tiga tahun dan (selepas mesyuarat terakhir PH pada Februari 2020 beliau beranjak lagi kepada) sebelum pilihan raya umum ke 15," katanya.

Menurut Anwar lagi, sikap Tun itu menyebabkan rakan-rakan seperjuangan dalam Amanah dan DAP kali ini menetapkan perjanjian yang lebih kukuh dan terperinci, termasuk pilihan menarik keluar sokongan ke atas kerajaan PH Plus sekiranya penyerahan kuasa masih gagal dilakukan selepas 6 bulan.

"Oleh kerana Tun berkeras (tetap mahukan jawatan PM), kawan-kawan memikirkan kalau kita bertolak ansur tetapi tidak tinggalkan Anwar. Bagi laluan kepada Tun untuk 6 bulan. Kita akan sain perjanjian, kita pastikan.

"Maknanya (dalam hal serah kuasa) ada juga kecurigaan, kita sudah ada pengalaman. Maknanya nak percaya 100% (kepada Tun) tidak juga.

"Hendak sain, pastikan. Kalau tak setuju (serah kuasa) kita akan undur, keluar dari kerajaan," kata Anwar lagi.

Dengan penolakan KEADILAN mencalonkan Tun sebagai PM ke 9 rundingan kini berada di jalan buntu. Namun kenyataan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN pada 19 Jun lalu tidak pula mematikan rundingan. MPP kekal terbuka untuk rundingan seterusnya diadakan demi mencari jalan agar kleptokrasi tidak kembali memerintah Malaysia.

    0