Dec 22, 20231 min

Proses daftar MyDigital ID 1.6 juta penjawat awam berjalan lancar

Proses pendaftaran Identiti Digital Nasional (MyDigital ID) melibatkan seramai 1.6 juta penjawat awam yang sedang dilaksanakan ketika ini berjalan dengan lancar, kata Menteri Komunikasi.

Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan memberitahu kerajaan memberikan fokus untuk menjayakan pendaftaran MyDigital ID untuk kakitangan awam sebelum pendaftaran dibuka kepada orang ramai pada Mac tahun depan.

"Harapan saya, kita akan dapat pertingkatkan pendaftaran MyDigital ID yang merupakan single sign on (SSO) sistem ataupun sistem yang kita cuma buat pendaftaran sekali sahaja," katanya dipetik selepas meninjau sesi pendaftaran MyDigital ID warga kementeriannya di Putrajaya semalam.

Pada 21 November lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM80 juta kepada MIMOS Berhad untuk menyegerakan pelaksanaan MyDigital ID dan memperkasakan transformasi digital.

Fahmi berkata kerajaan melibat terdapat keperluan unutk penjawat awam turut terlibat dengan giat dalam usaha pendaftaran MyDigital ID ini kerana ia merupakan asas kepada proses pendigitalan perkhidmatan kerajaan.

Tambah beliau, pihaknya juga telah meminta Jabatan Penerangan (JaPen) membantu MIMOS untuk membuat sebaran maklumat mengenai kepentingan pendaftaran sistem itu antaranya mengaktifkan Info on Wheels di peringkat negeri.

Mengenai sesi pendaftaran MyDigital ID warga Kementerian Komunikasi hari ini beliau berkata lebih 500 warga kementerian telah mendaftar MyDigital ID.

    1