Nov 22, 20201 min

Projek rintis ATD yang diusahakan Wan Azizah perlu dilaksana segera

Projek rintis yang diusahakan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail iaitu ‘Alternative To Detention’ (ATD) perlu dilaksanakan segera bagi melindungi nyawa tahanan kanak-kanak yang terancam ketika ini akibat pandemik Covid-19.

Jurucakap KEADILAN bagi Kementerian Wanita, Nurul Izzah Anwar dan Nor Azrina Suip@Nurin Aina berkata ini selari dengan tema Hari Kanak-Kanak iaitu Bumi Lestari : Kanak-Kanak Dilindungi serta tema Hari Kanak-kanak peringkat antarabangsa, Climate Change : For Children, by Children'.

"Tahun 2020 merupakan pengalaman baru buat kanak-kanak yang terlepas dari alam persekolahan sejak Mac yang lalu. Pendidikan dan nutrisi kanak-kanak menjadi kegalauan utama buat ibu bapa.

"Namun peristiwa pandemik ini tak mematahkan semangat ibu bapa dan guru-guru untuk terus memberi segala mungkin pendedahan buat anak-anak, segalanya demi kasih yang tidak berpenghujung," katanya dalam kenyataan.

Namun, terdapat juga kanak-kanak yang kurang bernasib baik apabila menjadi tahanan pihak berkuasa.

"Dalam kegembiraan kita meraikan hari kanak-kanak, jangan kita lupakan suratan takdir 756 kanak-kanak yang kini harus berada dalam Depoh Tahanan Malaysia, bersendirian tanpa ibu bapa atau penjaga, dalam keadaan yang sesak, dikurung dan kotor.

"Mereka ini lari dari negara asal di atas kekejaman dan jika dibiarkan dalam tahanan, anak-anak ini terdedah dengan risiko kesihatan, kemurungan, tekanan pasca trauma dan kebarangkalian untuk membunuh diri.

"Ini memerlukan pembuktian melalui manifestasi tanggungjawab kerajaan dan masyarakat dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak benar-benar diangkat.

"Justeru, projek rintis ATD yang seharusnya berjalan April lalu dibawah usaha bekas timbalan perdana menteri, sebagai kaedah alternatif untuk tahanan kanak-kanak harus dilaksanakan dengan segera.

"Nyawa kanak-kanak ini bukan suatu pertimbangan yang patut dilengahkan malah mereka harus dijaga bukan dilayan seperti penjenayah," katanya.

    2