Apr 171 min

Projek lebuh raya PJD: ‘Kerajaan tidak teruskan’ - Fahmi

Oleh: Abdullah Zaid

Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini memutuskan untuk tidak meneruskan projek pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link Expressway) selepas ia gagal memenuhi syarat-syarat ditetapkan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan mengambil keputusan tidak melanjutkan perbincangan dengan pihak PJD selepas pemegang konsesinya, gagal memenuhi enam daripada 11 syarat yang ditetapkan.

"Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai perkara ini dan rakan-rakan media boleh merujuk kepada KKR," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

Kata Fahmi, beliau difahamkan tiga kali tempoh pelanjutan telah diberikan kepada pemegang konsesi projek itu bagi melengkapkan syarat berkenaan namun masih gagal dipenuhi.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari memberi bayangan cadangan pembinaan projek PJD Link mungkin akan dihidupkan setelah mengambil kira semua aspek penilaian setelah ia dibatalkan 31 Julai tahun lepas.

Pembinaan lebuh raya alternatif itu dijangka menghubungkan utara dan selatan Petaling Jaya, melalui Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Petaling Jaya city centre, Taman Dato’ Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara dan Taman Teknologi Bukit Jalil.

Pada 18 Mac lalu, Gabungan Persatuan Penduduk Taman Medan mewakili 50,000 warga menyokong pelaksanaan projek PJD Link bagi mengurangkan masalah kesesakan yang kian parah di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, dilaporkan penduduk bagi kawasan lain membantah projek berkenaan selain menyeru alternatif baharu bagi mengantikan cadangan lebuh raya berkenaan.

    1