Oct 23, 20211 min

PRN Melaka: Rundingan kerusi PH dimuktamad minggu depan

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari mengesahkan bahawa rundingan pengagihan kerusi bagi pilihan raya negeri (PRN) Melaka akan dimuktamadkan selewat-lewatnya Selasa depan.

Beliau berkata, soal pemilihan calon juga akan diselesaikan tidak lama lagi.

“Kami yakin sebelum pertengahan minggu hadapan, kami sudah boleh muktamadkan. Amanah setakat ini, kami jangka akan bertanding lapan hingga 10 kerusi.

“Ada beberapa kerusi lagi belum dimuktamadkan. Jadi, kami akan adakan rundingan lanjut dengan rakan-rakan PH,” katanya.

Adly turut mengesahkan bahawa PH akan bertanding di semua 28 kerusi DUN Melaka.

Pada PRU-14, PH mengagihkan 7 kerusi kepada KEADILAN, 8 kerusi kepada DAP, Amanah dengan 6 kerusi dan selebihnya adalah Bersatu.

Hari penamaan calon akan diadakan pada 8 November, disusuli dengan hari undi awal pada 16 November dan hari mengundi pada 20 November.

    1