Apr 271 min

PRK KKB: Beri peluang calon PH pertahankan kerusi Perpaduan

Oleh: Abdullah Zaid

Calon Perpaduan Pang Sock Tao (calon dua) menyeru para pengundi DUN Kuala Kubu Bharu (KKB) memberi mandat kepadanya bagi menerajui kawasan tersebut dalam pilihan raya kecil (PRK).

Katanya, bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Kerajaan Perpaduan, ahli jentera diseru untuk melipat gandakan tenaga bagi memastikan kerusi tradisi DAP itu terus dipertahankan.

"Saya secara rasmi telah menjadi calon nombor dua bagi PRK DUN KKB, jadi saya menyeru semua jentera untuk bersedia pertahankan kerusi ini.

"Marilah kita bekerja keras bagi memastikan kerusi DUN Kuala Kubu Bharu berpihak kepada Kerajaan Perpaduan," katanya ketika ditemui.

Pagi tadi, Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Kuala Kubu Bharu, Yuhanas Auree Kamaruddin mengumumkan Sock Tao calon kedua mewakili blok Perpaduan bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

Manakala, Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut (calon satu) diangkat sebagai wakil PN selain Hafizah Zainuddin menjadi calon keempat bagi Parti Rakyat Malaysia dan calon bebas Nyau Ke Xin (calon tiga) bagi DUN KKB.

PRK DUN KKB yang pertama kali diadakan bagi tahun ini selepas penyandangnya Kee Hiong, 58, meninggal dunia pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu, Kee Hiong mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 4,119 undi.

DUN Kuala Kubu Bharu terdiri daripada 46.4 peratus pengundi Melayu; Cina (30.7 peratus), India (18 peratus) dan lain-lain (5 peratus).

    1