Mar 22, 20231 min

Premis anjur aktiviti hiburan tidak bermoral tiada lesen

Penganjur aktiviti hiburan Thai Hot Guy, lelaki berpakaian meniru wanita yang bakal diadakan di Kuala Lumpur tidak pernah memohon lesen daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk berbuat demikian.

Menurut Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin, laporan berkenaan acara hiburan yang akan dianjurkan oleh Privacy Club di Jalan Tun Razak pada 30 Mac tersebut telah pun diterima oleh pihaknya dan mendapati berlakunya beberapa pelanggaran peraturan.

"Setelah meneliti iklan di akaun Facebook bar berkenaan, pihak kami mendapati acara hiburan yang bakal menampilkan persembahan pelayan lelaki berbadan sasa dari Thailand yang berpakaian wanita dikenali sebagai Thai Hot Guy, sebagai tarikan utamanya.

"Justeru hasil siasatan awal dari pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, mendapati bahawa premis tersebut adalah dilesenkan sebagai restoran kepada syarikat Beijing 9 Sdn Bhd.

"Walau bagaimanapun lesen restoran syarikat itu telah tamat pada 4 Februari 2021 yang lalu. Premis itu juga tidak mempunyai lesen hiburan dan juga tiada sebarang permohonan lesen hiburan atau permohonan untuk menjalankan aktiviti hiburan," kata Azman dalam kenyataan hari ini.

Iklan kontroversi mengundang kemarahan rakyat

Sehubungan itu, beliau yang ditugaskan menjaga hal ehwal Kuala Lumpur berkata, DBKL ketika ini dalam proses semakan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan dan syarat syarat oleh pihak penganjur.

Penganjuran Thai Hot Guy telah menerima kritikan hebat netizen di laman sosial waktu ini. Beberapa tokoh politik kerajaan dan pembangkang juga telah menyatakan pendapat agar aktiviti tidak bermoral tersebut dihalang daripada diteruskan.

Bagaimanapun kritikan pemimpin PN bahawa kerajaan Madani mebenarkan acara tersebut terjawab hari ini apabila pihak berkuasa mengesahkan premis berkenaan tidak pernah memohon lesen untuk acara hiburan yang bertentangan nilai murni itu.

    2